KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri yang juga pempengaruh yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang semalam bagi membantu siasatan kes penyelewengan kutipan derma, direman empat hari.
Turut direman empat hari ialah dua lelaki dipercayai pengendali platform kutipan derma dalam talian.
Perintah tahanan reman sehingga Ahad ini terhadap kesemua suspek dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas membenarkan permohonan reman yang dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Menurut sumber, pasangan suami isteri itu dipercayai melakukan perbuatan tersebut sejak 2020 dengan menyeleweng kutipan derma yang tidak disalurkan dengan cara yang betul.
“Dianggarkan kutipan derma terbabit mencecah kira-kira RM3 juta dan siasatan masih diperingkat awal.
“Pada masa sama, dua lagi suspek turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes yang sama,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Terdahulu, media melaporkan dua lelaki yang juga pengendali kutipan derma atas talian ditahan SPRM tengah malam kelmarin ketika hadir memberi keterangan.
Pasangan suami isteri itu pula ditahan SPRM pada jam 6.40 petang semalam bagi membantu siasatan selepas membuat kutipan derma melebihi jutaan ringgit, namun difahamkan wang itu tidak disalurkan secara betul.
Sebelum ini, sebuah akaun di Facebook mendakwa pasangan itu membuat kutipan derma untuk tujuan kepentingan peribadi.
Akaun terbabit turut mendakwa personaliti media sosial itu sanggup mencipta kontroversi mengenai situasi rumah tangga mereka demi mencari publisiti dan simpati masyarakat.
Bagaimanapun, pempengaruh terbabit menerusi peguamnya menafikan semua dakwaan penyelewengan dan pecah amanah membabitkan dirinya seperti yang tular di media sosial, sejak kebelakangan ini. – 11 Julai, 2024