KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan Speaker Dewan Rakyat , Tan Sri Johari Abdul tidak mengosongkan kerusi enam wakil rakyat Bersatu dengan mengatakan perkara itu diputuskan mengikut undang-undang.
Perdana Menteri berkata, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya membaca tafsiran undang-undang Perlembagaan Persekutuan berhubung akta anti lompat secara keseluruhan, dan bukan diambil sebahagiannya sahaja.
Menurutnya, ketetapan itu adalah berlandaskan undang-undang yang memberi kuasa kepada Speaker untuk memutuskan perkara berkenaan.
“Kalau tafsiran undang-undang kena baca seluruhnya, jangan pilih satu dan tinggal yang lain seperti mana dilakukan pimpinan Bersatu semalam.
“Ikut undang-undang, bukan soal Perdana Menteri, soal ketua pembangkang, dia ikut undang-undang dan tafsiran undang-undang itu serah kepada Speaker.
“Saya tidak tahu kenapa dia baca sebahagian dan tinggal sebahagian, itu kaedah kerja politik Bersatu… macam (isu) Blackrock juga, (mereka) baca sebahagian dan tinggal sebahagian, tidak betul,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kedudukan enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, kekal sebagai wakil rakyat.
Pada masa sama, Anwar berkata, ketika menjadi pembangkang sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) berkeras mahu memasukkan mana-mana ahli parti yang dipecat supaya digugurkan secara automatik sebagai Ahli Parlimen.
Bagaimanapun katanya, perkara itu ditentang Ahli Parlimen Bersatu ketika itu.
“Saya sendiri tidak terlibat dalam perbincangan itu tapi yang terlibat daripada wakil kerajaan pada masa itu ada termasuk Tun Wan Junaidi yang sekarang TYT (Yang di-Pertua Negeri Sarawak).
“Sebelah kita saya ingat (Datuk Seri) Saifuddin Nasution (Ismail) ada, sebelah sana (Datuk Seri) Takiyuddin (Hassan) ada, kita… (Anthony) Loke ada. Jadi mereka tahu.
“Kita yang keras mahu masukkan bahagian kalau dipecat sekalipun mesti gugur tapi mereka menentang… rekodnya ada,” katanya.
Semalam, Muhyiddin mengesahkan enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri kekal sebagai wakil rakyat selepas menerima surat bertarikh semalam daripada Johari.
Enam ahli Parlimen adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Susulan itu, Muhyiddin menegaskan alasan dikemukakan Johari dangkal dan tafsiran dibuat songsang sekali gus mencemar Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Bersatu juga memutuskan untuk mengambil langkah susulan dengan melantik beberapa pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan Bersatu.
Beliau mempertimbangkan untuk mengemukakan usul dalam sesi Dewan Rakyat hari ini bagi merayu keputusan berkenaan. – 11 Julai, 2024