Keputusan Speaker Dewan Rakyat tak jamin kestabilan politik, dibuat atas ‘kepentingan sendiri’: Shahrir

"Kini, kita tertanya-tanya apakah gunanya kita mempunyai Akta Antilompat Parti namun tidak dipraktikkan."

11:05 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Veteran Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengingatkan bahawa keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berhubung kedudukan enam bekas ahli Parlimen Bersatu tidak menjamin kestabilan politik.

Beliau turut mengkritik ketetapan dibuat oleh Johari yang disifatkannya sebagai satu keputusan dibuat atas ‘kepentingan sendiri’, bukannya berasaskan prinsip selain dibimbangi memberi kesan kepada kerajaan.

“Apabila keputusan dibuat bukan kerana prinsip tetapi atas kepentingan sendiri dan kepentingan semasa, jangan terperanjat apabila keadaan yang sama boleh terkena kepada diri sendiri.

“Tidak ada apa yang sekarang menghalang pertukaran sokongan tanpa meninggalkan parti. Tak lompat, hanya ‘terkeluar’ daripada parti sebab menyokong kepimpinan Ketua Dewan, iaitu Perdana Menteri.

“Bagaimana sebaliknya? Iaitu menarik sokongan dari Ketua Dewan tanpa keluar parti sendiri. Keputusan ini tidak menjamin kestabilan politik,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan Bersatu sudah menerima surat daripada Johari yang menolak permohonan parti itu supaya kerusi enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri dikosongkan.

Menurut Muhyiddin, keputusan tersebut diterima Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee yang juga Ahli Parlimen Beluran petang semalam.

Sementara itu Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan keputusan Speaker mengekalkan kerusi enam ahli Parlimen yang menyokong Perdana Menteri sebagai bercanggah Perlembagaan.

Sambil melahirkan rasa kecewa dengan keputusan itu, beliau menambah, peruntukan Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan kerusi ahli Dewan Rakyat harus dikosongkan jika tidak lagi menjadi ahli parti politik yang dianggotainya ketika dipilih ke Dewan Rakyat.

“Kini, kita tertanya-tanya apakah gunanya kita mempunyai Akta Antilompat Parti namun tidak dipraktikkan?” soalnya.

Speaker sebelum ini memaklumkan akan membuat keputusan mengenai kekosongan enam kerusi terbabit dalam tempoh 21 hari susulan notis diberikan Bersatu kepada beliau sebelum ini.

Enam Ahli Parlimen berkenaan ialah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar). -10 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Elderly, disabled face ‘roadblocks’ as public transport goes fully digital

Consumer group urges government and public transport companies to be more inclusive with digitalisation approach

Cops to call up 13 varsity students who joined Jan 25 anti-graft rally

Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia rep says this includes three from Sabah who would have to fly to KL; summoned rallygoers may meet police together on Sunday to receive notice

Cyberbullying: Understanding the impact and solutions for parents, schools and individuals

The widespread use of social media has made it easier for bullies to target individuals, leaving victims vulnerable to threats and psychological harm

Related