KUALA LUMPUR – Selepas dituduh menipu kejayaannya memenangi tempat ketiga dalam acara Triatlon Desaru 2024, baru-baru ini, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil memohon maaf kepada komuniti sukan lasak itu.
Menurut beliau, ia adalah kesilapan jujur (honest mistake) di pihaknya.
Katanya, berdasarkan penelitian bersama penganjur dan wakil teknikal acara tersebut, beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas kesilapan itu.
“Selepas merujuk perkara ini dengan data I watch (jam) saya, jelas terdapat kesilapan dan saya bertanggungjawab sepenuhnya untuk perkara itu.
“Ini adalah kesilapan yang jujur di pihak saya. Walaupun menyemak semula masalah semasa perlumbaan dan memberitahu pasukan teknikal, sebagai peserta saya sepatutnya lebih bertanggungjawab.
“Saya memohon maaf dengan ikhlas kepada komuniti triatlon. Ya saya masih baru dan berharap untuk memperbaiki diri,” katanya dalam perkongsian di Facebook, hari ini.
Jelas Syed Saddiq, selepas berbincang dengan penganjur, adalah lebih baik status kemenangannya itu ditukar kepada DNF (tidak menamatkan larian).
“Mereka juga mengakui bahawa ini adalah kesilapan yang jujur.
“Saya berjanji untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang dan akan bekerjasama rapat dengan komuniti untuk belajar serta menjadi lebih baik kerana ini adalah sukan yang saya sukai,” katanya.
Tempat ketiga dalam kejohanan itu diganti dengan peserta bernombor 107, Adam Syahmi yang menamatkan acara itu dalam masa enam jam 44 minit.
Terdahulu, kemenangan Syed Saddiq dipertikai pengguna Instagram yang trurut menyertai acara triatlon tersebut dengan mendakwa bekas Menteri Belia dan Sukan itu berada di belakangnya.
Syed Saddiq bagaimanapun menafikan perkara tersebut. – 10 Julai, 2024