Wajibkan ujian HIV untuk kemasukan pelajar baharu ke IPT, kata MPP

Data pelajar yang menjalani ujian saringan HIV memerlukan pengurusan yang ketat dan sulit bagi mengelak sebarang spekulasi dan fitnah terhadap pelajar terlibat

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mewajibkan ujian HIV untuk kemasukan pelajar baharu ke institusi pengajian tinggi (IPT) antara syarat yang perlu diperkenalkan dalam usaha mengurangkan kadar kenaikan kes jangkitan HIV dalam kalangan mahasiswa.

Prosedur yang perlu dilakukan sama seperti pemeriksaan kesihatan sebelum mendaftarkan diri pada semester pertama iaitu menjalani ujian X-ray, mata dan lain-lain, cadang Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Langkah tersebut perlu diambil selepas Kementerian Pendidikan Tinggi Kementerian Tinggi (KPT) melaporkan, jumlah pelajar IPT berusia antara 18 hingga 25 tahun yang menghidap penyakit HIV menunjukkan peningkatan saban tahun.

Exco Pembangunan dan Kepimpinan Persatuan Alumni MPP UiTM, Mohamed Yusuf Hassan Roslan berkata, kerajaan dan pihak universiti perlu bekerjasama dalam menggunakan pengumpulan data kesihatan supaya pencegahan dapat dikawal dengan lebih berkesan.

Menurutnya, data pelajar yang menjalani ujian saringan HIV memerlukan pengurusan yang ketat dan sulit bagi mengelak sebarang spekulasi dan fitnah terhadap pelajar terlibat.

“Sebelum ini, sebelum masuk semester pertama, pelajar hanya menyerahkan dokumen kesihatan lain seperti ujian mata, x-ray, dan ujian tertentu sahaja, tidak termasuk ujian HIV,” katanya.

Katanya, ujian awal HIV bukan bertujuan mendiskriminasi pelajar tetapi untuk menyediakan langkah pencegahan segera supaya ia tidak merebak.

Exco Pembangunan dan Kepimpinan Persatuan Alumni MPP UiTM, Mohamed Yusuf Hassan Roslan berkata, data pelajar yang menjalani ujian saringan HIV memerlukan pengurusan ketat dan sulit bagi mengelak sebarang spekulasi serta fitnah terhadap pelajar terlibat. – Gambar Scoop, 11 Jun, 2024

“Pelajar yang menghidap HIV berhak menikmati segala kemudahan dan fasiliti yang ada semasa mereka melanjutkan pelajaran. Oleh sebab hak privasi individu adalah penting, pelaksanaan ujian ini di peringkat kampus memerlukan pengurusan data yang ketat.

“Pelajar juga perlu mendapatkan rawatan melalui prosedur yang diselaraskan jika tambahan polisi dan dasar di semua universiti diwujudkan,” tambahnya.

Mengulas isu sama, Ketua Jabatan Pengurusan Organisasi MPP Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Najiha Natasha Mohamad Naszari berkata, kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan jaringan dengan komuniti serta organisasi luar adalah penting untuk mendapatkan sokongan dan sumber yang lebih luas.

“Pusat Kesihatan Universiti perlu memastikan pelajar yang terkesan mendapat rawatan dan sokongan perubatan, serta menyediakan sesi dialog dan kaunseling tertutup. Kita mahu pastikan pendekatan holistik dan inklusif dalam memberi sokongan menyeluruh kepada pelajar berkaitan pemahaman mengenai HIV/AIDS.

“MPP juga perlu menggubal polisi anti diskriminasi untuk melindungi pelajar yang terkesan, menyediakan sokongan moral dan menggalakkan penglibatan dalam kelab yang memberi fokus kepada kesedaran,” katanya.

Ketua Jabatan Pengurusan Organisasi MPP UTHM, Najiha Natasha Mohamad Naszari berkata, Pusat Kesihatan Universiti perlu memastikan pelajar terkesan mendapat rawatan dan sokongan perubatan, serta menyediakan sesi dialog dan kaunseling tertutup. – Gambar Scoop, 11 Julai, 2024

Sementara itu Presiden MPP UniKL Cawangan Business School, Syahmi Nisa Nazri percaya pendidikan seks di tahap pengajian tinggi mampu mengurangkan stigma bahawa HIV/AIDS adalah satu ‘hukuman mati’ dan mencegah penyebaran penyakit ini dari peringkat awal.

“Pendidikan seks ini bukan bertujuan untuk menggalakkan perilaku tidak senonoh tetapi untuk memberikan pendedahan awal kepada golongan pelajar. Pendidikan ini merangkumi faktor dan simptom penyakit, cara pencegahan dan rawatan, serta agensi yang boleh dihubungi untuk mendapatkan rawatan dan nasihat.

“Dengan adanya pendidikan seks yang komprehensif, kes melibatkan HIV/AIDS dan gejala sosial lain akan berkurangan,” katanya.

Tambahnya, pendedahan berkaitan HIV di peringkat pengajian tinggi adalah sangat kurang buat masa ini.

“Pendedahan terhadap HIV/AIDS adalah sangat terhad sehingga mereka perlu mencapai usia dewasa dan bersedia untuk berkahwin. Pada tahap ini, barulah ujian HIV dilakukan sebagai sebahagian daripada proses check-up praperkahwinan,” katanya.

Bagi Syahmi Nisa Nazri yang merupakan Presiden MPP UniKL Cawangan Business School, pendedahan berkaitan HIV di peringkat pengajian tinggi adalah sangat kurang ketika ini. – Gambar Scoop, 11 Julai, 2024

Pengesanan awal selamatkan nyawa

Dalam pada itu, seorang penuntut di sebuah universiti awam yang ingin dikenali sebagai Daniel berkata, universiti perlu mewujudkan ruang yang selamat bagi pelajar mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.

“Jika pihak universiti tidak memberikan jaminan untuk menyembunyikan status pesakit, sukar untuk meyakinkan pelajar yang dijangkiti untuk mendapatkan rawatan secara sukarela, seterusnya berkemungkinan meningkatkan lagi penyebaran.

“Mereka akan rasa malu dan akan mendapatkan bantuan dari pihak luar yang mengambil masa yang lebih lama. Keadaan ini tidak bagus kerana mampu memburukkan keadaan pesakit,” katanya.

Tambahnya, pihak KKM telah menawarkan rawatan yang sesuai untuk pesakit HIV, namun keadaan tersebut mampu diperbaiki sekiranya pihak universiti turut menyediakan ujian awal sekiranya pelajar disyaki menghidap penyakit yang melibatkan hubungan seks.

“Sokongan perubatan adalah yang paling penting. Saya pernah menjalani pembedahan akibat komplikasi berkaitan HIV, walaupun terpaksa menunggu sedikit masa untuk janji temu dan pembedahan. 

“Sekiranya tidak dikesan lebih awal, keadaan saya mungkin bertambah buruk,” katanya.

Tambahnya, pihak universiti sewajarnya menyediakan kaunseling peribadi bagi membantu pelajar yang ingin mendapatkan bantuan dengan mengekalkan privasi.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, jumlah pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta berusia antara 18 hingga 25 tahun yang menghidap penyakit HIV menunjukkan peningkatan saban tahun. – Gambar Bernama, 11 Julai, 2024

Terdahulu Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, jumlah pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan insitusi pengajian tinggi swasta (IPTS) berusia antara 18 hingga 25 tahun yang menghidap penyakit HIV menunjukkan peningkatan saban tahun.

Katanya, berdasarkan notifikasi jangkitan kes yang dilaporkan ke KKM, seramai 214 pelajar dijangkiti penyakit itu pada 2020 diikuti 186 pada 2021.

Menurutnya, angka itu meningkat kembali pada 2022 pada 2023 dengan masing-masing mencatatkan seramai 221 dan 224 pelajar dijangkit penyakit tersebut. – 11 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

MCMC recorded nearly 9,500 reports on cyberbullying in the last three years

Online scams are just behind with 9,321 complaints; 143 reports on child sexual content

Petros accuses Petronas of strong-arm tactics in blocking Sarawak’s gas rights

Court documents reveal claims of dominance abuse and interference with the state’s sole gas aggregator role

Related