Tidak mahu legasi Sharifah Aini lenyap, keluarga usaha bina galeri Biduanita Negara

Selain piring hitam, kaset dan cakera padat album serta pakaiannya, meja mekap, meja tulis, bilik spa yang dilengkap jakuzi serta barang hiasan milik Sharifah Aini akan dipamerkan di galeri tersebut

2:52 PM MYT

 

Kuala Lumpur – Biarpun rumah agam milik Allahyarham Datuk Sharifah Aini sudah dijual kepada pihak swasta dan kini dirobohkan untuk pembangunan komersial, namun usaha mewujudkan galeri Biduanita Negara itu sedang dilakukan dalam kalangan ahli keluarganya.

Bercakap kepada Scoop, Maimunah yang juga ibu saudara kepada Aliff Omar iaitu anak tunggal Sharifah Aini berkata, usaha itu dilakukan kerana mereka tidak mahu warisan seni dan legasi Sharifah Aini sebagai penyanyi, penghibur dan Biduanita Negara hilang begitu sahaja.

Pekerja-pekerja dilihat mengangkut keluar semua barangan termasuk pintu-pintu rumah dan tingkap-tingkap. – Gambar ihsan keluarga Aliff Omar

“Bersama adik-beradik terdekat yang lain, kami sepakat untuk mewujudkan sebuah galeri di satu tapak yang sedang dirunding bersama pihak kerajaan.

“Peminat setia Sharifah Aini usah risau kerana barangan-barangan peribadi milik penyanyi idola mereka itu masih lagi berada dalam simpanan kami dan semua itu nanti akan dipamerkan di galeri tersebut.

“Selain piring hitam, kaset dan cakera padat album-album serta pakaiannya, kami juga akan pamerkan perabot-perabot seperti meja mekap, meja tulis, bilik spa yang dilengkap jakuzi serta barang hiasan yang terdapat di rumahnya. Bahkan, kami juga akan pasangkan semula pintu-pintu atau tingkap-tingkap yang terdapat di rumahnya itu di galeri ini nanti,” katanya.

Menurut Maimunah, usaha untuk mewujudkan galeri tersebut akan memakan sedikit masa kerana mereka perlu melakukan ubah suai terhadap galeri itu serta menyusun atur segala barangannya dengan menyuntik sedikit konsep hiasan dalaman seperti mana yang dilakukan Sharifah Aini di rumah agamnya.

“Barang-barang peribadi milik arwah termasuk hiasan rumah dan sebagainya memang terlalu banyak sehingga ada sebahagiannya yang terpaksa dijual kepada rakan-rakan serta ahli keluarga terdekat.

“Tapi sewaktu rumah ini dirobohkan, kami terpaksa mengangkut keluar semua barang-barangnya termasuk pintu-pintu rumah dan tingkap-tingkapnya itu menggunakan 20 buah lori,” katanya.

Mengenai rumah agam Sharifah Aini yang tidak dapat diselamatkan itu, Maimunah berkata, Aliff terpaksa menjualnya kerana dia berdepan dengan kesulitan untuk menjaga dan memulihara rumah agam dua tingkat yang seluas 16 kaki persegi serta memiliki sembilan kamar tidur serta tujuh kamar mandi itu.

Kediaman Biduanita Negara Sharifah Aini yang turut dihiasi kemasan diperbuat daripada kayu cengal dan merbau. – Gambar ihsan keluarga Aliff Omar, 10 Julai, 2024

“Pembinaan rumah agam itu pula menggunakan kayu cengal dan merbau yang berkualiti tinggi dan ada juga bahan-bahan yang diimport dari luar negara.

“Jadi kos penyelenggaraan rumah itu memang besar kerana memakan jumlah puluhan ribu dan itu tidak dicampur dengan kos untuk memperbaiki kerosakan di rumah itu.

“Sebetulnya Aliff pernah berusaha berjumpa dengan pihak Arkib Negara dan Muzium Negara untuk berbincang serta menjual rumah tersebut tetapi jawapan yang diterima agak mengecewakan kerana mereka tidak punya bajet.

“Disebabkan itu, Aliff terpaksa mengiklankan rumah itu dan menjualnya. Harga jual yang diletakkan pada awalnya adalah sebanyak RM9 juta. Tapi setelah lima tahun, tiada siapa yang mahu membelinya.

“Akhirnya, Aliff terpaksa menjualnya dengan nilai sebanyak RM3 juta kepada pihak swasta yang mahu membuat pembangunan baharu di kawasan itu,” katanya. – 10 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Ex-national basketball player arrested for alleged sexual harassment against students

Cheras top cop confirms source's claims, says 36-year-old suspect also has multiple simillar reports lodged against him before; source questions why MoE allowed him to teach

Umno on life support: time for Anwar to pull the plug and bury the loonies – Tuan Muda

The writer doesn't mince his words when he calls for curtains on Malaysia's once premier Malay party

Anwar’s plan: protecting Petronas and restoring the ringgit – Tuan Muda

How the prime minister’s reforms are taking shape in crucial institutions

Related