Banteras nikah sindiket: Jais kaji pinda Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor

Pindaan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 bagi membanteras pernikahan sindiket itu akan dibentangkan pada 2026

1:56 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sedang mengkaji pindaan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 bagi membanteras pernikahan sindiket yang akan dibentangkan pada 2026.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Mohammad Fahmi Ngah berkata, ia membabitkan penambahan peruntukan jelas berkaitan individu atau ejen yang mempromosi atau menggalak pernikahan berlawanan dengan peruntukan undang-undang.

Menurutnya, Jais turut mencadangkan kenaikan hukuman bagi kesalahan berkaitan termasuk kesalahan bersubahat dalam pernikahan sindiket tersebut.

“Pada tahun ini saja tujuh daripada 14 siri bengkel dirancang diperingkat Jais telah dibuat bersama pihak berkepentingan melibatkan agensi agama lain termasuk Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor dan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Selangor dengan nasihat Pegawai Syariah Pejabat Kamar Negeri, Pegawai Undang-Undang Jais bersama Sekretariat Bahagian Undang-Undang Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

“Perancangan selanjutnya akan dibawa dalam perbincangan teknikal Jawatankuasa Undang-Undang Mais sebelum pembentangan dalam mesyuarat Mais dan terakhir akan dibentang untuk sidang DUN (Dewan Undangan Negeri) pada 2026,” katanya pada sidang DUN Selangor, hari ini.

Beliau menjawab soalan Jefferi Mejan (PN-Ijok) yang ingin mengetahui inisiatif kerajaan Selangor untuk mengekang nikah sindiket di luar negara yang dibuat tanpa kebenaran Jais malahan dilihat berani mempromosikan pakej pernikahan di luar negara seperti Thailand.

Mengulas lanjut, Mohammad Fahmi berkata, nikah sindiket adalah satu pernikahan yang berlaku di luar negara tetapi tidak didaftarkan bawah kedutaan dan menyebabkan tiada surat perakuan nikah yang diiktiraf.

Katanya, ketika ini tiada peruntukan khusus diperuntukkan bagi kesalahan nikah sindiket dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

“Tetapi, peruntukan undang-undang dan penguatkuasa di bawah Seksyen 124 Berpoligami Tanpa Kebenaran Mahkamah dan Seksyen 40 (2) kesalahan berhubung Akad Nikah Perkahwinan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 sudah digunapakai untuk membendung kesalahan dalam aktiviti nikah sindiket ini,” katanya.

Tegasnya, mereka yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, beliau berkata, Jais turut melakukan lawatan berkata ke Songkhla, Thailand untuk menjalin hubungan dengan pusat pernikahan di kawasan terbabit.

Katanya, menerusi kerjasama ini, data-data pernikahan melibatkan warga Malaysia yang berlaku disana dapat dikongsi dengan jabatan berkaitan di Selangor.

“Pindaan undang-undang yang saya sebutkan tadi akan dibentang pada 2026 membabitkan satu enakmen baru. InsyaAllah ia lebih memihak kepada kesejahteraan semua,” katanya. – 10 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Let us not forget our unsung heroes – Ravindran Raman Kutty

We must recognise the many ordinary Malaysians doing extraordinary things

Tiong King Sing gets feet wet to aid victims as over 1,000 evacuated in Sarawak floods

Women, Family & Community Development Minister Datuk Seri Nancy Shukri says assistance was immediately mobilised on first day of Chinese New Year

Vehicles plough into pedestrians in vicious hit-and-run attack near Old Klang Road

Two individuals left injured as sedan and pickup truck deliberately ram into group, police probe attempted murder

Related