KUALA LUMPUR – Garis panduan baharu berkaitan lesen pengendalian umrah akan diumumkan bulan depan bagi mengekang kes penipuan pakej umrah.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, garis panduan itu merangkumi beberapa syarat untuk memastikan syarikat pengendalian umrah menjalankan perniagaan mengikut ketetapan dan mengambil kira semua aspek bagi membendung kes penipuan terbabit.
“Kita telah melakukan beberapa siri libat urus sejak tahun lalu sehingga tahun ini. Berdasarkan siri libat urus itu, kita akan mengakreditasikan syarikat-syarikat umrah supaya ianya lebih tersusun dan teratur untuk mengekang kes penipuan seperti disebutkan.
“Walaupun jumlahnya (kes) agak tidak signifikan tapi masih memberi satu petunjuk tidak sihat kepada industri umrah itu sendiri. Kriteria yang akan diumumkan pada Ogos akan memastikan supaya syarikat pengendali umrah ini benar-benar melakukan perniagaan sepertimana dijanjikan oleh mereka,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan bercadang untuk menubuhkan satu pasukan petugas khas merentas kementerian untuk meneliti aduan pakej umrah serta apakah usaha dilakukan untuk membantu mangsa penipuan terbabit.
Mengulas lanjut, Khairul berkata, Akta Industri Pelancongan 1992 akan diperkasa bagi memastikan tahap penguatkuasan dipertingkat bagi mengekang kes penipuan pakej pelancongan termasuk pakej umrah.
Menurutnya, penambahbaikan akta itu perlu disegerakan memandangkan ia sudah lama tidak diperbaharui selain membantu pemantauan kes penipuan pakej pelancongan.
“Untuk kita melakukan pengawasan setiap masa, ia bergantung kepada aduan kita terima. Kita tahu dari sudut kekangan pegawai penguatkuasaan kita di kementerian ini yang tidak mungkin untuk kita melihat setiap kejadian itu secara tuntas.
“Tapi InsyaAllah dengan pemerkasaan Akta Industri Pelancongan kerana akta ini agak lama dan tidak pernah diperbaharui, diangkat menjadi akta lebih hebat. Kita akan memastikan akta ini dapat dilihat supaya ia lebih ada sudut penguatkuasan yang lebih tinggi,” katanya.
Jelasnya lagi, berdasarkan statistik dikongsi Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2019 hingga Mei 2024, sebanyak 252 kertas siasatan dibuka membabitkan kes penipuan umrah melibatkan kerugian sebanyak RM9.81 juta.
Malah katanya, bagi tahun 2023 hingga 2024, Motac menerima 349 aduan umrah dengan kerugian bernilai RM14.09 juta.
“Motac telah menasihatkan pengadu untuk membuat tuntutan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) bagi tebus rugi dan membuat laporan polis bagi kes penipuan.
“Sehubungan itu, Motac membuka 19 kertas siasatan berkaitan umrah dengan lapan kertas dikompaun RM241,000 manakala kes lain masih dalam siasatan ke atas agensi pengendali umrah
“Motac turut menggantung dan membatalkan lesen bagi dua agensi pengendali umrah berhubung kesalahan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482),” katanya. – 10 Julai, 2024