KUALA LUMPUR – Arahan penutupan pintu pagar balai polis selepas jam 10 malam buat masa ini akan membabitkan balai yang mempunyai penugasan dua anggota.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, melalui arahan itu, seorang anggota bertugas sebagai prowler (balai pengawal) manakala seorang lagi bertugas di bahagian inkuiri (kaunter laporan polis).
Menurut beliau, secara amnya penugasan dua anggota ini dikuatkuasakan di balai polis di kawasan terpencil dan luar bandar namun ia juga merisikokan keselamatan anggota yang terlibat terhadap sebarang ancaman seperti yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, pada 17 Mei lalu.
“Penutupan pintu pagar balai polis bukannya bermaksud sesebuah balai itu ditutup namun ia tetap beroperasi secara normal dalam memudahkan proses penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat setempat.
“SOP (prosedur operasi standard) pelaksanaan arahan ini akan dibentangkan Pengarah Jabatan Pengurusan, Datuk Seri Azmi Kassim sebelum dilaksanakan secara berperingkat di balai-balai terutamanya kawasan terpencil dan luar bandar.
Seperti yang ditegaskan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, perlu diimbangi bahawa balai polis adalah tempat rakyat mengadu dan pada masa sama Balai Polis turut menjadi sasaran ancaman. Jadi perlu diimbangi antara dua keperluan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Razarudin memberitahu, penutupan pintu pagar balai polis di seluruh negara selepas jam 10 malam tidak akan menjejaskan proses penyampaian perkhidmatan polis kepada masyarakat apabila ia dilaksanakan.
Katanya, sebarang proses pengaduan dan membuat laporan di balai polis berjalan secara normal.
“Orang ramai boleh meletakkan kenderaan mereka di kawasan lapang yang tidak mengganggu kelancaran lalu lintas tidak jauh dari kawasan balai polis ketika berurusan selepas jam 10 malam.
“Secara normal, anggota yang berugas di Pos Pengawal akan merekodkan tujuan kehadiran ke balai polis sebelum dibenarkan masuk untuk berurusan dengan anggota inkuiri,” katanya.
Pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini, Saifuddin memberitahu Kementerian Dalam Negeri mengarahkan pintu pagar balai polis di seluruh negara ditutup selepas 10 malam sebagai langkah keselamatan berikutan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram.
Arahan itu dilaksanakan bagi mengimbangi keperluan masyarakat untuk ke balai polis dan menjaga keselamatan anggota yang bertugas. – 9 Julai, 2024