KUALA LUMPUR – Dua robot Transformers yang ditampilkan sebagai gimik persembahan khas pada sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1446H/2024M baru-baru ini, adalah usaha untuk memberikan penekanan mengenai Tafsir Ilmi Kejadian Langit dan Bumi.
Perkara itu dijelaskan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), susulan gimik persembahan khas dua robot ikonik dari filem Hollywood yang muncul sambil bertarung dan kemudian menari pada sambutan Maal Hijrah tersebut, mendapat kecaman segelintir netizen melalui platform X.

Melalui kenyataan dikongsi di media sosialnya, Jakim menyatakan, konsep persembahan itu turut menunjukkan keindahan cakerawala dihiasi dengan galaksi dan sistem suria yang menjadi fenomena alam semesta yang menakjubkan.
“Sesungguhnya kewujudan ini membuktikan tanda kekuasaan dan kebijaksanaan Allah SWT sebagai Maha Pencipta. Eksplorasi ini dapat mengacu akal pada batas pengetahuan, minat dan pengalaman sebagai inspirasi untuk menjelajahi kehidupan serta meningkatkan keimanan dalam diri.
“Al-Quran mendorong umat Islam untuk banyak mengkaji dan hal ini banyak berkait dengan penerokaan ilmu terutama dalam bidang sains, tambahan pula kita berada di zaman Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), dengan ledakan automasi, digital dan fizikal siber kini menguasai manusia.
“Sains sudah banyak memberikan sumbangan bermakna kepada peradaban manusia. Dan sudah tentu umat Islam adalah peledak kepada ilmu sains moden yang berkembang hingga ke hari ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu, konsep persembahan terbabit turut menunjukkan bahawa kemajuan perlulah berlandaskan Al-Quran, malah kemajuan yang tidak dilengkapi nilai agama akan menimbulkan kehancuran dan kemusnahan kepada alam.
“Pergerakan tari dipersembahkan (robot) pula adalah mengambil pengaruh dari seni mempertahankan diri seperti silat, dengan pergerakannya kemudian dikreasikan mengikut lirik lagu menggambarkan kejayaan.
“Dalam menuju arus kemodenan, jati diri tetap tidak dilupakan sebagai bekalan menghadapi cabaran semasa,” katanya.

Terdahulu, rata-rata netizen berpendapat kehadiran dua robot Transformers itu sebagai tidak kena gaya dan tidak sesuai diterapkan pada sambutan Maal Hijrah, apatah dalam keadaan krisis peperangan di Gaza masih memuncak.
Mengenai kenyataan dikeluarkan Jakim, netizen berpandangan, penjelasan itu membuktikan persembahan berkenaan gagal apabila konsepnya terpaksa dijelaskan dengan panjang lebar. – 9 Julai, 2024