Dua beradik kritikal termakan keropok beracun: Ini luahan ibu, nenek mangsa

Difahamkan doktor tidak dapat memberi harapan terhadap pemulihan Muhammad Akil Syauqi yang juga anak sulungnya, namun akan cuba yang terbaik

8:57 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ibu kepada dua beradik lelaki yang kritikal selepas termakan keropok mengandungi racun tikus kelmarin, merayu orang ramai mendoakan kedua-dua anaknya itu yang masih dalam situasi serius dan tidak sedarkan diri.

Menurut Nurain Hasnorizal, 25, sebagai ibu fikirannya buntu atas kejadian menimpa mereka dan hanya doa dipintanya daripada semua supaya Muhammad Luth Syauqi Abdul Rahman, 2, dan Muhammad Akil Syauqi, 3, kembali sembuh dan sihat seperti biasa.

“Saya rayu orang ramai titipkan doa buat dua beradik ini semoga segera sembuh dan pulih seperti sedia kala.

“Terima kasih dan semoga ada doa dalam kalangan kalian yang dikabulkan Allah SWT,” katanya ketika ditemui media di pekarangan Hospital Pulau Pinang (HPP).

Berhubung keadaan terkini dua kanak-kanak itu, Nurain berkata, doktor tidak dapat memberi harapan terhadap pemulihan Muhammad Akil Syauqi yang juga anak sulungnya, namun akan cuba yang terbaik.

Katanya, doktor turut memaklumkan ketika ini, rawatan buah pinggang ke atas Muhammad Akil Syauqi tidak dapat dijalankan kerana keadaan kesihatannya tidak stabil.

Malah, ujarnya, tekanan darah kanak-kanak itu rendah dan jika rawatan dibuat, keadaan buah pinggangnya mungkin bertambah tidak baik.

“Muhammad Luth Syauqi pula masih koma. Dia sudah menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT Scan).

“Pada masa ini fikiran saya masih buntu, namun saya mohon supaya orang ramai mendoakan kesembuhan kedua-duanya,” katanya.

Mengulas mengenai kejadian itu, Nurain berkata, dia menyedari kedua-dua anaknya masuk ke rumah dan tidak lama kemudian, anak bongsunya itu diserang sawan.

Nurain memaklumkan, dia terus memeriksa keadaan anak sulungnya pula yang dalam keadaan serupa, dengan mulut berbuih.

Dia kemudian melihat terdapat plastik makanan ringan dan yakin mereka sudah termakan keropok dicampur racun tikus yang sering digunakan penduduk berhampiran bagi memerangkap monyet.

“Berikutan keadaan kritikal, mereka dipindahkan dari Hospital Kulim (HK) ke HPP,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd Azizul Mohd. Khairi berkata, dua kanak-kanak itu kritikal selepas dipercayai memakan keropok mengandungi racun tikus dalam kejadian di Kampung Padang Ubi, Labu Besar di Kulim, kelmarin.

Beliau memaklumkan, insiden menimpa adik-beradik itu disedari ibu mereka pada kira-kira jam 11 pagi, selepas kedua-duanya muntah dan mulut berbuih ketika pulang ke rumah.

“Keropok mengandungi racun tikus itu digantungkan penduduk pada dawai besi sekeliling pagar kebun bertujuan untuk memerangkap monyet.

“Kedua-dua mangsa dipercayai membuka bungkusan dan makan keropok terbabit,” katanya.

Sementara itu, nenek mangsa, Saadiah Yaacob, dilaporkan berkata, dia dan suami, Muhammad Nazar Abdullah, tidak menyangka keterujaan dua kanak-kanak berkenaan membawa pulang bungkusan makanan ringan bertukar ‘berita menyedihkan’ buat keluarga.

Jelasnya, sebelum kejadian, kedua-dua cucunya itu mengikut Muhammad Nazar mencari lembu di kawasan kebun yang terletak 50 meter dari kediaman, sebelum dua beradik terbabit masuk ke rumah sambil membawa bungkusan keropok.

Saadiah berkata, tidak lama kemudian, ambulans masuk ke kawasan rumah dan membawa dua cucunya ke klinik kerana muntah dan mulut berbuih.

“Cucu saya balik sambil bawa keropok di tangan dalam keadaan riang. Masa itu saya nampak mereka tak makan lagi sebab sampai rumah baru mereka buka (bungkusan),” katanya ketika ditemui media di rumahnya di Kampung Padang Ubi. – 9 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related