KUALA LUMPUR – Karyawan filem tempatan khususnya produser dan pengarah filem diingatkan supaya tidak hanya memfokuskan penghasilan filem sekadar lulus Wajib Tayang di dalam negara tetapi memikirkan skop lebih besar membawa karya menembusi pasaran antarabangsa.
Bercakap kepada Scoop, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, cabaran yang kita hadapi adalah bagaimana untuk menghasilkan karya yang tidak hanya dapat dinikmati penonton rakyat Malaysia semata-mata, tetapi juga oleh penonton luar.
“Secara keseluruhan purata rakyat Malaysia yang menonton filem di negara ini adalah sebanyak lapan hingga 10 juta orang, sedangkan jumlah keseluruhan penduduk di rantau Asia Tenggara adalah sebanyak 660 juta orang.
“Oleh itu kita perlu melihat dalam konteks yang lebih besar untuk membawa filem kita ke peringkat antarabangsa khususnya di Asia Tenggara,” katanya pada Majlis Apresiasi Filem Imam arahan Mior Hashim Manap sempena Konvensyen Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di sini.
Beliau berharap, karyawan filem tempatan dapat memberikan penekanan kepada dua aspek penting dalam penghasilkan sesebuah karya filem iaitu pembangunan skrip serta pemasaran.
“Tanpa pembangunan skrip, tanpa naskhah atau skrip yang baik, sukar untuk kita terjemahkan ke dalam bentuk visual filem, manakala pemasaran pula adalah aspek kedua terpenting yang kurang diteliti produser filem berdasarkan data.
“Saya harap dengan bantuan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dan Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (Gafema), kita akan dapat perbetulkan beberapa perkara untuk memberikan penekanan terhadap dua aspek penting ini, selain aspek pengarahan, produksi, pasca produksi termasuk pengedaran,” katanya.
Fahmi berkata, realiti pada hari ini, bukan semua penggiat seni menghasilkan bahan atau konten untuk ditayangkan di pawagam.
“Bagi generasi muda, telefon bimbit adalah pawagam mereka. Di pihak kerajaan, kami sedang meneliiti perubahan ini dan cuba menyesuaikannya dengan sejumlah akta termasuk Akta Finas agar kita dapat mengemas kini untuk mengikuti perubahan ini.
“Walau bagaimanapun kita masih menyediakan beberapa bantuan serta sokongan untuk rakan-rakan penggiat seni termasuk peruntukan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (Fimi). Ramai penerbit yang bertemu dan bertanya saya mengenai status Fimi yang memberikan rebat sebanyak 30% kepada produksi filem yang sudah selesai atau siap.
“Saya masih belum boleh menyebutnya. Tapi, akan ada berita baik untuk penggiat filem yang akan kami umumkan tidak lama lagi. Berikan kami sedikit masa,” katanya.
Pada majlis itu juga Fahmi berharap lebih ramai karyawan filem yang akan berusaha menterjemah karya sastera ke layar perak seperti mana filem Imam yang mengangkat naskhah novel Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain. – 7 Julai, 2024