KUALA LUMPUR – Veteran Umno menafikan desas-desus ada pemimpin Umno Selangor akan mengikut jejak langkah Tan Sri Noh Omar menyertai parti Bersatu, seperti yang didakwa oleh segelintir pihak.
Bercakap kepada Scoop, Setiausaha Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub berkata, pihaknya tidak mendengar sebarang berita mengenai peralihan sokongan itu meskipun Noh adalah bekas Pengerusi Umno Selangor.
“Saya tidak ada dengar pula ada ahli-ahli atau pemimpin tertinggi Umno Selangor (akan lompat parti), hal ini tidak akan berlaku.
“Macam kes Noh Omar, beliau dipecat daripada Umno jadi beliau berhak dan bebas nak sertai mana-mana parti politik.
“Beliau dah buat pilihan (sertai Bersatu), jadi kita hormati keputusan yang dibuat itu,” katanya ketika dihubungi.
Noh Omar mengumumkan menyertai Bersatu selepas dipecat Umno tahun lalu kerana melanggar disiplin parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau memohon untuk menyertai Bersatu secara dalam talian dengan mengisi borang dan terus diterima.
Katanya, keputusan drastik itu dibuat selepas kecewa dan sedih dengan nasib menimpa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tidak berjaya mencabar Titah Adendum di mahkamah.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib yang juga Presiden Umno memulakan semakan kehakiman terhadap kerajaan, bagi memaksa penzahiranTitah Adendum dikatakan dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 untuk membolehkannya menjalani tahanan di rumah.
Berikutan itu terdapat cakap-cakap yang menyatakan kemungkinan ada pemimpin Umno bahagian di Selangor yang akan mengikut jejak Noh susulan keputusan yang dibuat ke atas Najib.
Mengulas lanjut, Mustapha berkata, veteran Umno sentiasa mengikuti perjalanan parti agar ia sentiasa berkembang maju dan relevan seiring dengan matlamat untuk membantu rakyat di luar sana.
Sehubungan itu, segala dasar-dasar yang dibincangkan pada pucuk pimpinan parti turut diketahui oleh persatuan veteran termasuk dakwaan lompat parti yang diuar-uarkan tersebut.
“Kita mengetahui semuanya sebab wakil-wakil kita (Veteran) ada dalam setiap bahagian parti (negeri) dan dilantik sebagai ‘ex officio’.
“Jadi, saya nafi ada pemimpin parti yang akan lompat parti seperti yang didakwa itu, memang tak pernah dengar langsung sebelum ini,” katanya. – 7 Julai, 2024