KUALA LUMPUR — Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menegaskan dapatan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang menyatakan bahawa universiti itu tidak berupaya membayar balik hutang sebagai tidak tepat dan mengelirukan.
Menurut universiti tersebut, sebagai universiti awam, UIAM tidak dibenarkan membuat pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan untuk tujuan perbelanjaan operasi.
Sehubungan itu katanya, pengurusan UIAM ingin mengesahkan bahawa tiada sebarang pinjaman berbentuk hutang yang pernah diambil sehingga hari ini.
“Perkara ini dapat dibuktikan melalui hasil dapatan audit penyata kewangan oleh juruaudit bebas, KPMG Malaysia, yang telah memberi penarafan sijil bersih kepada UIAM untuk tiga tahun berturut-turut (2021-2023).
“Kedudukan kewangan UIAM setakat 31 Disember 2022 menunjukkan kurangan terkumpul sebanyak RM17.06 juta, yang disebabkan oleh peruntukan besar digunakan untuk pelan manfaat persaraan bagi kakitangan UIAM yang akan bersara wajib, selaras dengan kehendak Standard Laporan Kewangan Malaysia (MFRS).
“Pada tahun kewangan berakhir 2022, sejumlah RM308.59 juta telah direkodkan sebagai komitmen keseluruhan bagi pelan manfaat persaraan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Universiti itu menambah, pada awal pelaksanaan pembayaran ganjaran manfaat persaraan, pihak pengurusan berhasrat untuk tidak bergantung kepada geran khas kerajaan dan menggunakan sumber dalaman universiti bagi bayaran ganjaran perkhidmatan kakitangan bersara wajib.
Sehingga 2023 katanya, hampir RM100 juta telah dibayar kepada kakitangan UIAM yang bersara menggunakan sumber dalaman universiti dan sebagai makluman, universiti awam lain dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (Bahagian Pencen).
Namun katanya, dengan peningkatan kadar inflasi, kenaikan gaji berperingkat sejak 2012, serta pola umur kakitangan yang semakin meningkat (persaraan), komitmen bayaran tahunan juga turut meningkat.
“Universiti telah membuat kajian dan mendapati sumber dalaman tidak lagi mencukupi untuk membiayai perbelanjaan ganjaran perkhidmatan kakitangan bersara wajib. Oleh itu tindakan diambil pihak pengurusan dengan mengemukakan kertas kerja kepada Kementerian Kewangan memohon peruntukan tambahan tahunan.
“UIAM dijangka membelanjakan purata RM24 juta mulai tahun kewangan 2024 dan jumlah ini dijangka meningkat selaras dengan pengumuman awal Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha memperbaiki struktur gaji kakitangan awam yang baharu, yang bakal dilaksanakan pada penghujung tahun ini,” katanya.
Tambah universiti itu, UIAM ialah sebuah universiti awam yang beroperasi di bawah Akta Syarikat yang ditubuhkan 41 tahun lalu dan sentiasa memastikan pematuhan kepada dasar dan keutamaan pendidikan negara.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 menyatakan bahawa kedudukan kewangan UIAM secara keseluruhannya kurang stabil kerana mencatatkan kurangan terkumpul sebanyak RM17.06 juta setakat 31 Disember 2022, selain dalam kedudukan tidak berupaya membayar balik hutang semasa dan jangka panjang kerana bergantung kepada geran kerajaan. – 6 Julai, 2024