LKAN 2024: 2 syarikat kerajaan gagal capai objektif penubuhan

Majlis Profesor Negara (MPN) dan i2M Ventures Sdn Bhd tidak mencapai objektif penubuhan syarikat ditetapkan kerajaan

10:28 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini mendedahkan, Majlis Profesor Negara (MPN) dan i2M Ventures Sdn Bhd tidak mencapai objektif penubuhan syarikat ditetapkan kerajaan.

Berdasarkan audit pengurusan dilakukan ke atas lapan syarikat kerajaan, MPN turut menunjukkan amalan tadbir urus korporat tidak memuaskan dengan kedudukan kewangan tidak dilaporkan.

Namun, i2M Ventures mencatatkan amalan tadbir urus korporat memuaskan, walaupun dikesan mempunyai kedudukan kewangan kurang stabil.

“Enam syarikat lain adalah Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd, Rangkaian Hotel Seri Malaysia Sdn menunjukkan amalan tadbir urus korporat memuaskan Bhd, Mara Incorporated Sdn Bhd, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Pembangunan Sumber Manusia Berhad serta Institute of Strategic and International Studies.

“Pengauditan pengurusan syarikat kerajaan Persekutuan adalah untuk mengukur pencapaian objektif penubuhan syarikat melalui tiga aspek yang dinilai, iaitu tadbir urus korporat, kedudukan kewangan dan pengurusan aktiviti utama syarikat, dengan skop pengauditan membabitkan 2019 hingga 2023,” menurut laporan itu.

Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd dan Institute of Strategic and International Studies mencapai objektif penubuhan syarikat ditetapkan, dengan masing-masing menunjukkan amalan tadbir urus korporat memuaskan dan baik.

Bagaimanapun, kedudukan kewangan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd kurang stabil, tetapi Institute of Strategic and International Studies adalah stabil.

Empat syarikat lain dikesan tidak mencapai sepenuhnya status pencapaian objektif penubuhan syarikat dengan Rangkaian Hotel Seri Malaysia Sdn Bhd merekodkan amalan tadbir urus korporat memuaskan dan kedudukan kewangan stabil, Mara Incorporated Sdn Bhd (kurang memuaskan dan kurang stabil), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) (memuaskan dan kurang stabil) serta Pembangunan Sumber Manusia Berhad (tidak memuaskan dan stabil).

Menurut laporan itu, bagi pengurusan syarikat kerajaan Persekutuan, terdapat keperluan penambahbaikan berterusan oleh syarikat berkenaan bagi memastikan pelaksanaan aktiviti selaras dengan objektif penubuhan organisasi.

Katanya, kelestarian perniagaan syarikat kerajaan perlu dilengkapi dengan amalan tadbir urus baik bagi mewujudkan keyakinan pihak awam.

“Ketua Audit Negara mengemukakan 64 syor audit untuk dilaksanakan kementerian, jabatan, agensi serta syarikat kerajaan yang diaudit di peringkat Persekutuan.

“Semua pegawai pengawal, ketua jabatan, ketua pegawai eksekutif berkenaan sudah dimaklumkan mengenai perkara dilaporkan dalam LKAN untuk tujuan pengesahan.

“Mesyuarat penutup juga sudah diadakan bagi membincangkan penemuan audit dan mendapatkan penjelasan serta maklum balas terhadap isu berbangkit,” katanya.

Pada masa sama, laporan itu memaklumkan, pengauditan dijalankan Jabatan Audit Negara (JAN) secara dasarnya memberi impak positif melalui tindakan pembetulan dan penambahbaikan yang dilaksanakan kerajaan, sebaik teguran audit diterima.

“Susulan audit terhadap LKAN 2020, 2021 dan 2022 melalui Portal Papan Pemuka Ketua Audit Negara, kerajaan mendapat bayaran balik, antaranya tuntutan penalti, sewa tertunggak serta kutipan Liquidated Ascertained Damages (LAD) yang dianggar RM100 juta hingga suku kedua 2024,” katanya.

Menerusi laporan saya dinyatakan bahawa JAN akan melaksanakan pendigitalan perkhidmatan jabatan (PPJ) mulai Julai 2025 dengan teknik, metodologi dan pendekatan pengauditan inklusif serta mampan, seterusnya menjadi peneraju serantau dalam pengauditan digital.

“Antara inisiatif PPJ adalah penggunaan teknologi kecerdasan buatan (Al), seperti penggunaan drone dan semakan secara remote auditing dan menggunakan advanced data analytics tools dalam mengenal pasti risiko, kelemahan kawalan dalaman atau red flags berhubung data atau maklumat yang diperolehi.

“Melalui PPJ juga, semua maklumat berkaitan pengauditan, sumber manusia dan LKAN akan diintegrasikan untuk menghasilkan output tepat dan pantas,” katanya. – 4 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Lelaki Itu bongkar konflik rumah tangga, penonton juga alami perkara sama: Sarimah Ibrahim

Isu kesihatan mental yang cuba diangkat dalam drama bersiri Lelaki Itu antara faktor utama artis versatil, Che Puan Sarimah Ibrahim bersetuju membawakan watak sebagai Sharifah Qaidah.

Related