Benar atau tidak Bakri Zinin, Cleopatra kahwin? Mahkamah putuskan 14 Ogos

Keputusan itu sepatutnya dimaklumkan hari ini, tetapi mahkamah menangguhkannya kepada tarikh baharu berkenaan

8:11 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Persoalan mengenai kesahihan status pernikahan antara bekas calon Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin dengan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin akan terjawab pada 14 Ogos ini.

Ia selepas Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini menangguhkan keputusan itu hari ini kepada tarikh baharu terbabit.

Pada tarikh itu, mahkamah berkenaan akan membuat pengesahan sama ada berlaku pernikahan atau sebaliknya antara mereka.

Menurut Peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Nur Fathiah Syazwana atau lebih popular dengan nama panggilan Cleopatra, 30, mahkamah menetapkan hari ini bagi memaklumkan status pernikahan itu, namun hakim memutuskan tarikh lain untuk keputusan lengkap.

“Sepatutnya hari ini adalah keputusan kes itu, namun mahkamah menangguhkan pada 14 Ogos ini.

“Keputusan ini berkaitan permohonan pengesahan sama ada wujud atau tidak perkahwinan itu,” katanya kepada media di luar mahkamah sejurus prosiding di hadapan Hakim Syarie, Wan Mohd Najib Wan Hamat yang dibuat secara dalam kamar.

Bagaimanapun, Akberdin berkata, anak guamnya mengulangi pendirian bahawa dia tidak pernah ke Thailand dan mahu mahkamah memberi keputusan mengikut hukum syarak.

Manakala, peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Mohd Bakri, 70, menegaskan tiada pernikahan berlaku antara anak guamnya dengan Nur Fathiah Syazwana.

Pada 28 Oktober tahun lalu, Nur Fathiah Syazwana dilaporkan menyangkal dakwaan dirinya adalah isteri kepada Mohd Bakri dan mereka tidak pernah melangsungkan perkahwinan.

Katanya, dia terkejut sebaik menerima sijil pernikahan dari negara jiran, sedangkan tidak pernah berkunjung ke sana dan berkahwin dengan bekas pegawai polis berpangkat tinggi itu.

Justeru, Nur Fathiah Syazwana yang juga pempengaruh media sosial itu memfailkan permohonan di mahkamah bagi mendapatkan jawapan kesahihan pernikahan dan sijil nikah yang diperoleh.

Sebelum dibawa ke mahkamah, kes terbabit dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang mengesahkan sijil nikah berkenaan adalah palsu.

Difahamkan, spekulasi pernikahan mereka tercetus selepas Nur Fathiah Syazwana memuat naik foto dirinya dan Mohd Bakri di Instagram.

Momen itu dirakam ketika kedua-duanya menghadiri konsert Senandung Nusantara Ethnochestra oleh Erwin Gutawa dan Jay Subyakto.

Perkongsian foto itu sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan netizen, selain menerima ucapan tahniah. – 1 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Megat Hafiz A.C.A.B tetap saman empat individu yang muat naik hantaran berbaur hasutan, ugutan dan penghinaan

Vokalis dan pemain gitar kumpulan skinhead, A.C.A.B, Megat Hafiz Mohammad atau Magskin memaklumkan salah seorang daripada empat individu yang sebelum ini telah mengeluarkan hantaran jelek berbaur hasutan, penghinaan serta ugutan dengan niat menjatuhkan dirinya telah ditahan polis di Pahang.

Related