Kemasukan Matrikulasi: Kerajaan ambil jalan adil, munasabah untuk reda ketegangan, kata PM

Tawar tempat buat semua lepasan SPM yang raih keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum, namun kuota Bumiputera dikekalkan berdasarkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan

11:49 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan untuk menawarkan semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum kemasukan ke Matrikulasi kerana mahu mengurangkan ketegangan dalam sistem pendidikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dasar kuota Bumiputera yang ditetapkan untuk kemasukan ke matrikulasi kadangkala dijadikan isu yang agak keterlaluan sesetengah pihak.

“Kadang-kadang ia dijadikan isu agak keterlaluan di satu pihak nak menafikan hak minoriti. Di satu pihak pula nak mempertikai prinsip Perlembagaan dan jaminan kepada Bumiputera, terutama yang dalam kedudukan lebih rendah kerana kemudahan di desa atau miskin bandar.

“Maka kita ambil jalan, kita anggap adil dan munasabah. Kalau dia tu (pelajar) rakyat dan warga Malaysia kita harus pelihara. Jadi reda sedikit suhu ketegangan yang hampir setiap tahun Kementerian Pendidikan (KPM) terpaksa hadapi.

“Dalam hal sebegini, pembenturannya itu menghangatkan suhu politik dan mengakibatkan ketegangan kaum dan sosial. Jadi mudah-mudahan pengumuman itu dapat membantu kerana kita iktiraf sesiapa saja catat 10A kita bagi laluan,” katanya.

Beliau berkata ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, hari ini.

Bagaimanapun, Anwar memberi jaminan kuota Bumiputera masih dikekalkan berdasarkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Kita tetapkan bahawa kuota ini harus dikekalkan kerana ini keputusan yang sudah lama dan dikaitkan dengan prinsip Perlembagaan iaitu Perkara 153 dan jaminan masa depan Bumiputera supaya jangan berlaku kesengangan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, walaupun meritokrasi itu penting, masih terdapat keperluan untuk menegakkan keadilan dan kesaksamaan bagi masyarakat terpinggir dan miskin.

“Saudara mengharapkan pelajar dari Manek Urai bersaing dengan Kolej Melayu (Kuala Kangsar) atau (SMJK) Chung Ling dengan segala prasarana siap di bandar dan sekolah terbaik ini tidak adil. Begitu juga mengharapkan (sekolah elit ini) bersaing dengan sekolah menengah di Kapit (Sarawak) ini juga tidak adil.

“Jadi kena ingat sementara kita setuju prinsip meritokrasi, kita juga perlu mempertahankan prinsip keadilan dan kesaksamaan. Kalau kita tekankan meritokrasi sahaja, maka mereka yang terpinggir dan miskin akan kekal dalam keadaan sedemikian,” katanya.

Semalam, Anwar mengumumkan semua lepasan SPM yang mendapat keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum dan wilayah akan ditawarkan peluang melanjutkan pengajian di peringkat Matrikulasi, bermula tahun ini.

Beliau berkata, keputusan itu dipersetujui Jemaah Menteri pada mesyuarat Jumaat lepas.

Katanya, perincian mengenai keputusan berani kerajaan itu dalam mengiktiraf kecemerlangan pelajar dan pada masa sama memberi keadilan di dalam sistem pendidikan negara akan dimaklumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hari ini. – 1 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Tennis star Kyrgios enjoys Raya with family in Malaysia

Born Nick Hilmy Kyrgios, he boasts Malaysian heritage through his mother, Norlaila – affectionately known as Nil. 

Adakah Petronas akan kurangkan pekerja untuk atasi kerugian daripada perjanjian dengan Petros?

Sumber mendakwa syarikat minyak dan gas negara dijangka mengalami kerugian hasil sebanyak 30% sebaik formula yang dipersetujui untuk pengagihan gas asli di Sarawak dilaksanakan

Related