KOTA KINABALU – Kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang di Kampung Botung berhampiran Kem Paradise, Kota Belud ditemukan selamat pada jam 3.15 petang tadi.
Adira Abdullah, 9, ditemui di Kampung Bobot, Kota Belud, kira-kira 5 kilometer (km) dari kawasan dia dilaporkan hilang.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I, Muhammad Syazwan Latun berkata, mangsa berjaya ditemui oleh saudaranya ketika sedang berjalan seorang diri di kawasan berkenaan.
“Mangsa telah dibawa ke rumah saudaranya di Kampung Bobot sebelum dihantar pulang ke rumahnya,” katanya.
Terdahulu, kanak-kanak itu disedari hilang pada jam 6.30 pagi tadi.
Berdasarkan laporan daripada ibu angkatnya, kanak-kanak itu tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan namun sering berhalusinasi.
Katanya, kanak-kanak itu sering mendakwa bahawa ada ‘orang’ mahu membawanya keluar dari rumah mereka. – 29 Jun, 2024