Beberapa pesawat Agusta A109 LOH dihenti terbang sementara

TDM tidak mahu mengambil sebarang risiko demi keselamatan anggotanya, sebelum mengetahui faktor kejadian itu berlaku

6:22 PM MYT

 

PADANG BESAR – Tentera Darat Malaysia (TDM) akan menghenti terbang sementara operasi beberapa pesawat jenis Agusta A109 LOH, sehingga siasatan mengenal pasti punca kemalangan yang berlaku semalam selesai.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata pihak TDM tidak mahu mengambil sebarang risiko demi keselamatan anggotanya, sebelum mengetahui faktor kejadian itu berlaku.

“Pengoperasian pesawat (Agusta A109 LOH) yang terdapat di Semenanjung dan Sabah akan henti terbang sementara untuk siasatan…pesawat itu memang digunakan untuk membuat latihan dan operasi.

“Untuk makluman pesawat itu sudah berusia anggaran 19 tahun, kita memang akan pastikan setiap pesawat dalam keadaan yang terbaik sebelum menjalankan latihan dan operasi,” katanya.

Muhammad Hafizuddeain berkata selepas acara perbarisan Hari Ulang Tahun Askar Wataniah ke-66 di Rejimen 504 Askar Wataniah, Kem Bukit Keteri dekat sini hari ini yang disempurnakan Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Semalam, media melaporkan TDM mengesahkan sebuah pesawat M81-11 (Agusta A109 LOH) yang membawa tiga anak kapal, melakukan pendaratan kecemasan pada pukul 1.35 pagi hingga menyebabkan tiga anak kapal terdiri daripada seorang jurulatih helikopter, penuntut kursus dan kru kuatermaster cedera.

Kejadian itu berlaku ketika sesi Latihan Penerbangan Malam, Kursus Army Aviation Basic Officer Course di Landasan Terbang Kluang, Kem Mahkota Kluang di Johor.

Muhammad Hafizuddeain berkata sebelum diterbangkan untuk latihan itu, ia dipastikan berada dalam keadaan selamat apabila proses penyelengaraan juga dilaksanakan secara berterusan daripada segi fizikal dan teknikal.

Dalam pada itu, beliau berkata TDM masih meneruskan pencarian Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim yang hilang ketika sedang bertugas dalam Op Ukur bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) Sarawak, pada 18 Jun.

“Hari ini merupakan hari yang ke-11 pencarian TDM dalam operasi mencari dan menyelamat, bukan saja dari teknikal dan profesional kita juga mencari dengan cara tradisional, sehingga hari ini kita sudah mendapat beberapa petunjuk keberadaan anggota itu di kawasan sekitar.

“Namun masih belum ditemukan, kita tetap akan teruskan operasi pencarian dan saya menyeru agar semua rakyat Malaysia mendoakan beliau agar ditemukan,” katanya. – 29 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related