KUALA LUMPUR – Kerajaan Johor mengecam kenyataan fitnah dilemparkan terhadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail kononnya baginda terbabit rasuah melibatkan seorang pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjumlah RM20 juta.
Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, dakwaan fitnah yang tular di aplikasi WhatsApp itu adalah hasutan jahat dalam cubaan menjatuhkan institusi diraja.
Menurutnya, dakwaan itu juga adalah sikap yang tidak bertanggungjawab, biadap serta kurang ajar.
“Kerajaan Johor memandang serius perkara ini yang membabitkan institusi raja dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan isu menggugat keharmonian dan kedaulatan negeri serta negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tegasnya, kerajaan Johor sudah membuat laporan polis berkaitan perkara itu.
Sehubungan itu, beliaumenggesa pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit menyebarkan hasutan tersebut.
“Kerajaan Johor berharap isu ini tidak dipanjangkan sehingga menjejaskan kedaulatan institusi diraja, yang mampu mengancam keharmonian negeri dan negara serta kerukunan masyarakat pelbagai kaum,” katanya. – 29 Jun, 2024