Tanggapan lagu berentak ‘marching’, suara jantan boleh kembalikan semangat nasionalisme ketinggalan zaman

Cadangan menggunakan suara jantan juga bersifat seksis dan merendahkan suara feminin

4:29 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid menyifatkan tanggapan bahawa semangat nasionalisme boleh dihidupkan melalui lagu berentak ‘marching’ (pancaragam) dan suara jantan adalah tidak tepat dan ketinggalan zaman.

Beliau berkata, cadangan menggunakan suara jantan juga seolah-olah bersifat misoginis dan seksis, selain merendahkan suara feminin yang saling melengkapi nada maskulin.

Malah, katanya, cadangan sedemikian memberi tamparan hebat kepada mereka yang terlibat dalam industri kreatif dan jelas bercanggah dengan inklusiviti dipromosikan kerajaan Madani.

“Kaedah sedemikian mungkin dapat menarik minat audiens tertentu, namun selalunya gagal dalam memberi inspirasi kepada semangat patriotisme yang lebih luas dan inklusif.

“Sebaliknya, ekspresi artistik yang diinspirasikan oleh budaya dan dirangka dengan teliti boleh memupuk kebanggaan nasional yang lebih mendalam dan berkekalan, sekali gus meraikan kekayaan dan kepelbagaian sesebuah negara serta rakyatnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, muzik dan kesenian mempunyai kuasa luar biasa dalam menyalakan semangat nasionalisme dengan menggabungkan aspek kekayaan budaya dan identiti kolektif negara.

Katanya, melalui ekspresi yang kreatif, pengkarya menerapkan intipati (essence) sejarah, nilai, dan impian negara serta menyentuh hati rakyat, membina perpaduan dan kebanggaan.

“Sebagai contoh, rakyat Malaysia terus menghargai lagu-lagu patriotik klasik seperti “Setia” dan “Sejahtera Malaysia” yang masih relevan sehingga kini.

“Menerapkan disiplin budaya dan sosiologi adalah kunci dalam proses ini. Ia memberikan pengkarya wawasan diperlukan untuk mencerminkan kompleksiti, meraikan kepelbagaian dan menceritakan cabaran unik masyarakat dalam karya mereka,” katanya.

Pada masa sama, Syerleena berkata, dengan mencipta karya yang ‘berbicara’ kepada hati rakyat, pengkarya dapat membangkitkan rasa kebersamaan dan matlamat bersama yang tulen.

Katanya, pendekatan itu jauh lebih menarik daripada bergantung kepada simbol atau kaedah tradisional yang mungkin tidak ‘lekat’ pada jiwa mereka.

“(Justeru) Usaha kerajaan untuk berkolaborasi dengan kumpulan muzik seperti Bunkface adalah langkah baik, namun kita perlu memperluaskan lagi penglibatan lebih ramai pengkarya dalam pelbagai genre.

“Muzik dan seni adalah perkara yang sangat subjektif dan setiap karya mempunyai penilaian yang berbeza dari individu ke individu.

“Saya juga pasti lagu Malaysia Madani oleh Bunkface, sebagai contoh, mungkin dirasakan sangat menyentuh dan menginspirasi oleh sebahagian rakyat, walaupun ada yang berpendapat sebaliknya,” katanya.

Jelasnya lagi, adalah penting untuk melibatkan golongan pengkarya seni tempatan yang pelbagai dan mendapatkan input mereka dalam penulisan lagu dan karya seni.

Katanya, ini kerana Malaysia mempunyai ramai pengkarya berbakat yang mampu memberikan perspektif yang unik dan relevan.

“Muzik dan seni memiliki keupayaan unik untuk merentas sempadan, menginspirasi perubahan, dan memupuk semangat perpaduan yang mendalam.

“Dalam kita terus menghargai dan meraikan warisan budaya kita yang pelbagai, marilah kita memanfaatkan daya kreatif ini untuk membina Malaysia yang lebih kuat dan bersatu.

“Melalui bahasa universal muzik dan impak transformasi seni, kita boleh merapatkan jurang, menggalakkan pemahaman dan membina masa depan di mana setiap rakyat Malaysia berbangga dengan identiti kebangsaan kita yang dikongsi bersama,” katanya.

Terdahulu, pensyarah kanan di Jabatan Sejarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Sahul Hamid Mohamed Maiddin dilaporkan berkata, lagu-lagu propaganda yang dihasilkan oleh kerajaan seperti Malaysia Madani nyanyian Bunkface belum mampu berbekas di hati rakyat.

Katanya, memang diakui lirik dalam lagu itu ada menyampaikan mesej mengenai falsafah Madani yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim namun ia belum mencukupi.

Oleh itu, beliau berkata, kerajaan harus menggerakkan jenteranya untuk mencipta lagu dan muzik yang lebih sesuai seperti berentak marching (pancaragam). – 28 Jun, 2024

Topics

Hangat

China’s rising 17-year-old badminton star, Zhang Zhijie, dead after collapsing on court

He was participating in the ongoing Asian Junior Badminton Championships in Indonesia

Poor driver vetting will steer public away from inDrive, says assault victim’s lawyer

Victim has criticised the company’s lack of transparency and slow response, is prepared to take legal action

Cops investigating leaked graphic pictures of Zayn Rayyan on Telegram

Authorities promise legal action against anyone found sharing the classified content

Related