KLANG – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam perbincangan untuk mewujudkan garis panduan mengenai pelupusan panel solar dan bateri kenderaan elektrik (EV) di negara ini.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, garis panduan itu penting kerana wujud kebimbangan mengenai kaedah pelupusan sisa buangan tersebut yang dikhuatiri akan menimbulkan masalah pencemaran alam sekitar.
“Bila dah ada banyak panel solar dan ada banyak kereta elektrik, jadi pelupusan bateri itu juga menjadi kerisauan kita. Kita tengah bincang mengenai soal garis panduan atau mekanisma (pelupusan) kerana dulu ada beberapa orang saja memiliki kereta elektrik.
“Sekarang (bateri EV) dah sampai ke penghujung hayat bagi beberapa generasi pertama (kenderaan) itu. Jadi kita perlu keluar dengan penyelesaian agar pelupusan itu tidak menimbulkan masalah pencemaran alam sekitar.
“Ramai pasang panel solar dan ada (memiliki) EV untuk menjaga alam sekitar, jadi kita tak nak bawa kerosakan lain,” katanya pada sesi taklimat kepada pengarang media di sini, hari ini.
Sebelum itu, Nik Nazmi melakukan lawatan meninjau rampasan 106 kontena berisi sisa elektronik (e-waste) yang diimport ke negara ini dengan sebuah kapal dari Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) di Pelabuhan Barat di sini, hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 301 kontena dengan 106 daripadanya berisi e-waste manakala selebihnya skrap logam dari 21 Mac hingga 19 Jun lalu.
Susulan itu, NRES akan menguatkuasakan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang menyaksikan denda lebih berat dikenakan terhadap pihak yang terlibat dalam kegiatan mengimport sisa elektronik (e-sisa) secara haram.
Beliau berkata, pewartaan pindaan berkenaan yang berkuat kuasa pada 7 Julai ini antara lain akan menyaksikan denda maksimum hingga RM10 juta dikenakan kepada mereka yang melakukan kesalahan di bawah akta terbabit.
Katanya, peningkatan denda daripada hanya RM500,000 sebelum ini diyakini boleh mengekang sebarang pengimportan, penyeludupan dan penempatan bahan buangan terjadual e-sisa sama ada kemasukan ke dalam negara berlaku di darat, di laut atau transit tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, Malaysia dan negara Asia Tenggara lain seperti Indonesia dan Filipina, menjadi sasaran sindiket pembuangan e-waste selepas China menamatkan import sisa pepejal ke negara berkenaan.
Susulan itu, beliau berikrar akan meningkatkan kerjasama rentas agensi dan kementerian untuk memastikan Malaysia tidak menjadi ‘tong sampah’ dunia bagi pembuangan bahan sisa larangan import tersebut.
Setakat ini, katanya Malaysia memiliki 175 kemudahan berlesen untuk pemprosesan e-waste. – 26 Jun, 2024