Warga asing guna ubat ‘tidurkan’ kanak-kanak untuk mengemis

Perbuatan itu dipercayai bagi meraih simpati orang ramai sekali gus meningkatkan 'pendapatan' daripada aktiviti mengemis

11:48 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur melumpuhkan sindiket menggunakan warga asing dan kanak-kanak untuk menjalankan aktiviti mengemis sekitar ibu negara dalam serbuan di Jalan Sultan Azlan Shah malam tadi.

Lebih menyedihkan bayi dan kanak-kanak berusia antara 10 bulan hingga enam tahun diberikan ubat dipercayai untuk ‘ditidurkan’ sebelum dibawa oleh warga asing dewasa bagi menjalankan aktiviti mengemis sekitar Jalan Chow Kit, Jalan Masjid India dan Jalan Sentul pada waktu pagi.

Perbuatan itu dipercayai bagi meraih simpati orang ramai sekali gus meningkatkan ‘pendapatan’ warga asing terbabit hasil daripada aktiviti mengemis.

Taktik itu terbongkar selepas jabatan berkenaan menyerbu sebuah bangunan rumah kedai empat tingkat kira-kira 9 malam tadi dan menemukan beberapa botol ubat batuk di kediaman yang disewa warga asing terbabit.

Difahamkan, bangunan rumah kedai itu turut dijadikan penempatan untuk warga asing disyaki dari Pakistan, Indonesia dan India dengan kadar sewaan RM800 sebulan yang didiami kira-kira lapan individu dalam satu bilik kecil termasuk beberapa kanak-kanak.

Serbuan turut berjaya membongkar sindiket pemalsuan dokumen pasport yang berselindung disebalik perniagaan kedai dobi, alat telekomunikasi dan kedai gunting rambut.

Wartawan Bernama yang turut menyertai serbuan terbabit mendapati bahagian belakang premis dijadikan pejabat operasi sindiket dan perniagaan yang dijalankan itu sekadar mengaburi mata pihak berkuasa selepas terdapat puluhan pasport dipercayai memiliki cop palsu di dalam premis itu.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata serbuan yang berakhir kira-kira 12 tengah malam tadi dijalankan berdasarkan hasil risikan selama enam bulan di lokasi itu.

Beliau berkata serbuan menahan 79 warga asing dan seorang lelaki warga tempatan kesemuanya berusia antara 10 bulan hingga 59 tahun.

“Sebanyak 77 warga Pakistan ditahan membabitkan 44 lelaki, wanita (22), kanak-kanak lelaki (empat), kanak-kanak perempuan (tujuh) selain seorang wanita Indonesia, seorang wanita India dan seorang lelaki tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Mohammed Saupee berkata kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Akta Pasport 1966 (Akta 150). – 26 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

MCMC recorded nearly 9,500 reports on cyberbullying in the last three years

Online scams are just behind with 9,321 complaints; 143 reports on child sexual content

Related