IPOH – Polis sedang menyiasat satu video yang tular menerusi media sosial memaparkan kejadian buli melibatkan pelajar perempuan dipercayai dari sebuah sekolah menengah di Kerian baru-baru ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kes berkenaan hari ini oleh seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun.
“Siasatan polis mendapati kejadian tersebut berlaku sekitar 10.30 pagi 14 Jun lepas dan mangsa seorang pelajar tingkatan satu telah dibuli dua pelajar perempuan berusia 15 tahun.
“Kedua-dua suspek telah membawa mangsa ke tandas dan telah menampar mangsa berulang kali selain merakam video kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Yusri berkata tindakan suspek menampar mangsa kerana perasaan cemburu suspek terhadap mangsa yang dikatakan rapat dengan teman lelaki suspek.
“Teman lelaki suspek berusia 15 tahun merupakan pelajar sekolah yang sama dan siasatan lanjut berhubung insiden ini masih diteruskan, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video itu selain menyalurkan maklumat berkaitan di balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian di talian 05-7212222,” katanya.
Terdahulu, video berdurasi 1 minit 21 saat itu menunjukkan seorang pelajar perempuan dibuli dua pelajar lain sehingga tular di media sosial dan mencetus kemarahan netizen. – 25 Jun, 2024