‘Saya ada 21 hari untuk mengkaji,’ kata Speaker mengenai nasib 6 MP Bersatu

Tan Sri Johari Abdul turut mengesahkan menerima notis kekosongan daripada Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee, Jumaat lalu

5:44 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul akan membuat keputusan mengenai nasib enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada pentadbiran Perdana Menteri, dalam masa 21 hari.

Beliau turut mengesahkan menerima notis kekosongan itu daripada Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee, Jumaat lalu.

“Mengikut undang-undang saya ada 21 hari untuk mengkaji dan insya-Allah apabila saya sudah ada keputusan, saya akan jawab dan panggil anda (media) semua untuk beritahu.

“Jadi tolong bersabar,’’ katanya ringkas kepada media di Dewan Rakyat hari ini.

Khamis lalu, Datuk Seri Ronald Kiandee yang juga Naib Presiden Bersatu memaklumkan notis pemakluman kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan membabitkan enam Ahli Parlimen Bersatu yang terhenti keahliannya secara serta-merta telah diserah ke pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Menurut Ronald, bagi pihak parti, semua notis pemakluman kekosongan bagi kerusi Parlimen Jeli, Gua Musang, Bukit Gantang, Kuala Kangsar, Tanjong Karang dan Labuan itu telah ditandatanganinya selaku Ketua Whip Bersatu.

Enam Ahli Parlimen itu adalah Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Zahari Kechik (Jeli); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) serta Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Pada 12 Jun lalu, Bersatu menyerahkan notis terhenti serta-merta kepada enam wakil rakyat parti itu yang mengisytiharkan sokongan secara terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Minggu lepas, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Mohd Amar Abdullah mengisytiharkan kerusi DUN Nenggiri kosong bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) di situ.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas DUN itu pada 28 Jun ini.

Manakala bagi kerusi DUN Selat Klang pula, Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sudah menyerahkan notis bertulis kekosongan luar jangka kerusi itu kepada Speaker DUN Selangor, Lau Weng San, pada Jumaat lalu. – 24 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Related