Tuntutan kumpulan Sulu: Kerajaan cari dalang, penderhaka rakyat Malaysia

Azalina berkata, menerusi maklumat diterima kerajaan, dalang dan penderhaka itu bertindakan menyalurkan maklumat serta membantu tuntutan kumpulan berkenaan

2:11 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengesan wujud dalang dan penderhaka dalam kalangan rakyat Malaysia yang menyokong serta membantu kumpulan Sulu membuat tuntutan terhadap negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, menerusi maklumat diterima kerajaan, dalang dan penderhaka itu bertindak sebagai penggerak dalam memberikan maklumat berhubung tuntutan Sulu.

Katanya, kerajaan kini sedang melaksanakan proses untuk mendapatkan mereka kerana mengkhianati negara, selain menyukarkan usaha memuktamadkan dan kenoktahkan kes tuntutan Sulu.

“Kerajaan sedang dalam proses yang saya tidak dapat memberikan strategi sebenarnya, ialah kita tahu adanya dalang dan penderhaka daripada rakyat Malaysia yang menyokong serta membantu tuntutan mereka (Sulu).

“Inilah sebenarnya yang akan kita lakukan sebab bagi luar negara, proses rayuan yang berpaksi kepada keputusan timbang tara Dr Gonzalo Stampa itu, kita akan selesaikan tapi dalam negara, penderhaka dan pendalang ini.

“Inilah yang kita dalam proses untuk melakukan dan mencari mereka (dalang dan penderhaka) sebab kita mendapat berita menyatakan, merekalah sebenarnya penggerak yang membantu kepada tuntutan sedemikian, memberi maklumat sebenarnya,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen dan soalan tambahan dikemukakan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal mengenai apakah status kemajuan terkini berkenaan dengan kes tuntutan kumpulan Sulu.

Shafie turut meminta Azalina mengulas mengenai apakah langkah konkrit untuk kerajaan memuktamadkan isu kes tuntutan itu supaya kedaulatan dan keselamatan Sabah terjamin, selain tidak menggugat pelancong.

Jee Keen juga bertanyakan berhubung apakah garis masa yang boleh diberikan sebelum kes itu dapat dirumuskan.

Azalina berkata, beliau bersetuju sepatutnya ada noktah kepada isu tuntutan kumpulan Sulu berkenaan kerana ia tidak akan berhenti selagi tidak ada satu keputusan muktamad.

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini disebabkan kumpulan itu mengemukakan saman, Malaysia mesti membela dan terus menunggu keputusan rayuan.

“Saya ini menteri yang jaga undang-undang dalam negara, saya pun ada kekecewaan sebab lepas ini apa (lagi tuntutan) seterusnya, kita tak tahu siapa lagi yang boleh kata mereka (mahu tuntut), bukan sahaja di Sabah dan atau Sarawak, mungkin juga di Semenanjung sebab kita negara yang memang cukup banyak sejarah.

“Itu sebabnya kita kena betul-betul menentukan bahawa apa pun strategi mesti dilakukan bagi pihak kerajaan, kita mahu menentukan bahawa mereka yang menganiayai Malaysia, perlu disaman dan memberi balik bayaran setimpal kepada segala kos dibiayai kerajaan,” katanya.

Sementara itu, ketika didesak Shafie supaya beliau memberitahu siapakah dalang dan penderhaka dimaksudkannya, Azalina enggan berbuat demikian.

“Kita dalam proses bahawa ada petualang, kalau kita sebut dalam Dewan (Rakyat) petualang lari macam mana YB, jadi YB yang sempurna kena sabar sebab proses undang-undang pun tidak sempurna,” katanya. – 24 Jun, 2024

Topics

Hangat

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related