Isu Ahli 6 Parlimen Bersatu: Bila dipindah tempat duduk…sudah lompat lah tu

Sekarang, hanya Speaker boleh tentukan sama ada kerusi mereka itu akan dikosongkan dan pilihan raya kecil perlu diadakan

5:21 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Di sebalik penantian untuk Speaker menentukan sama ada enam kerusi Parlimen disandang wakil rakyat Bersatu kosong atau sebaliknya, sebenarnya jawapan itu ‘sudah ada’.

Veteran Umno, Tan Sri Shahrir Samad mendakwa, ‘keputusan itu sudah lama ditetapkan’ Speaker, Tan Sri Johari Abdul apabila beliau memindahkan keenam-enam terbabit keluar dari blok tempat duduk pembangkang di Dewan Rakyat.

Menurutnya, keputusan memindahkan keenam-enamnya adalah kerana Speaker menganggap mereka sudah terkeluar dari blok pembangkang.

“Saya mengikuti perbincangan mengenai soal ahli Parlimen PN dengan perasaan bercampur pelik dan geli hati.

“Sekarang ditegaskan Speaker sahaja yang boleh tentukan sama ada kerusi mereka itu kosong dan demikian, perlu diadakan pilihan raya kecil (PRK).

“Sebenarnya Speaker sudah lama menetapkan bahawa semua ahli-ahli Parlimen itu, tidak lagi menjadi anggota parti pembangkang, apabila memindahkan mereka keluar dari blok tempat duduk pembangkang dalam dewan,” katanya.

Justeru, Shahrir berkata, tindakan diambil Johari itu membawa maksud enam pemimpin terbabit sudah ‘melompat menjadi wakil rakyat bebas’.

“Jadi, secara logiknya, Speaker mudah sangat hendak melangkah setapak lagi dengan mengisytiharkan kerusi-kerusi mereka pun berlaku kekosongan.

“Tapi, politik ada logiknya tersendiri. Senyum,” katanya.

Terdahulu, Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, notis pemakluman kekosongan enam kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan membabitkan enam Ahli Parlimen parti itu yang ditandatanganinya, diserah dan diterima pejabat Speaker Dewan Rakyat pada 20 Jun lalu.

Bersatu mengeluarkan notis itu selepas enam Ahli Parlimen terbabit dilucutkan keahlian susulan menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keputusan berhubung kekosongan enam kerusi itu akan ditentukan Johari pada Persidangan Dewan Rakyat yang akan bersidang selama 15 hari bermula esok hingga Julai depan.

Enam Ahli Parlimen itu adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang). – 23 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

The ‘powerful’ fallacy of MCMC – Wong Chun Wai

New regulations are needed to police rampant crimes committed on social media platforms used by millions of Malaysians

Related