KUALA LUMPUR – Semua program ceramah atau kuliah melibatkan pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid di Selangor ditangguhkan mulai 21 Jun lalu.
Sumber memberitahu Scoop, penangguhan itu adalah sehingga dimaklumkan.
“Ya ditangguhkan untuk semua masjid dan surau. Mula 21 Jun hingga dimaklumkan semula,’’ katanya.
Sebelum ini tular di media sosial mengenai dakwaan notis yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengenai penangguhan program Ustaz Don di semua agensi dan institusi masjid, surau serta musolla di Selangor.
Berdasarkan notis itu, penangguhan tersebut melibatkan semua program sama ada yang sudah mendapat persetujuan awal untuk dilaksanakan dan program yang sedang di peringkat perancangan.
Notis itu bertarikh 21 Jun lalu.
Baru-baru ini Ustaz Don berdepan dengan beberapa kontroversi dengan terbaharu melibatkan isu berpuasa pada hari Tasyrik.
Ustaz Don, 40, dalam satu perkongsian di sebuah stesen radio berkata, salah satu hari yang tidak boleh berpuasa ialah pada hari raya pertama sama ada pada Hari Raya Aidifitri atau Aidiladha.
Beliau kemudiannya memohon maaf di atas kenyataan yang mengelirukan itu.
Sebelum itu, Ustaz Don turut digugurkan daripada mengendalikan program Salam Baitullah di RTM, selepas direhatkan seketika.
Salam Baitullah adalah rancangan RTM yang bersiaran setiap kali musim haji menemui penonton bermula 2 hingga 17 Jun lalu. – 23 Jun, 2024