Pilihan raya bukan tempat tentukan akidah pengundi: Saifuddin Nasution

Pilihan raya bukan urusan menentukan akidah pemilih tetapi adalah soal untuk menguruskan negara

8:25 AM MYT

 

NIBONG TEBAL – Pilihan raya bukan tempat menentukan akidah pengundi, sebaliknya harus menjadi medan untuk parti politik menerangkan rancangan dan agenda yang diatur untuk rakyat sekiranya memenangi kerusi.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata jika ada pihak bertindak sedemikian rupa, maka mereka tidak sepatutnya disokong dalam mana-mana kempen.

”Kempen pilihan raya bermaksud kedua-dua pihak yang berlawan bercerita (berkongsi) tentang dasar, rancangan, agenda mereka apabila mendapat kuasa memerintah dan bagaimana usaha untuk menolong rakyat.

“Pilihan raya bukan tempat untuk kita katakan bahawa ‘pilih kami maka hang orang Islam dan jika tidak pilih kami, hang bukan saudara kami lagi’. Itu tidak boleh, ini bukan urusan menentukan akidah pemilih tetapi adalah soal untuk menguruskan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Ceramah Perpaduan yang julung kali diadakan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Taman Widuri, Sungai Jawi di sini malam tadi.

Turut hadir Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu, Pengarah Strategik Amanah Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan calon Pakatan Harapan (PH) bagi PRK DUN Sungai Bakap Joohari Ariffin.

Menteri Dalam Negeri itu turut berkata dalam PRK kali ini, masyarakat di Sungai Bakap bertuah kerana ditawarkan seorang calon yang mempunyai kelulusan ‘mengaji’ (akademik) yang cemerlang.

“Nak jadi pemimpin negeri, kena ada sifat pemimpin yang kuat dan amanah, jadi sebaiknya angkat beliau (Joohari) untuk jadi wakil rakyat di sini (Sungai Bakap). 

“… insya-Allah banyak kelebihan kalau orang Sungai Bakap memilih calon Kerajaan Perpaduan kerana di peringkat kerajaan negeri, ramai exco boleh bantu pelbagai urusan, begitu juga di peringkat Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad meminta agar ‘rakan-rakan lama’ dari Barisan Nasional (BN) menyokong calon Kerajaan Perpaduan untuk memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

“Saya dulu bersama BN. BN kerja kuat, kalau semua undi calon kita dalam Kerajaan Perpaduan, kita yakin boleh menang walaupun terdapat banyak isu perkauman dimainkan oleh pihak lawan,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH Joohari dengan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut. – 23 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related