KUALA LUMPUR – Pengusaha restoran mamak tetap mengekalkan harga makanan pada kadar biasa meskipun harga telur mengalami penurunan sebanyak 3 sen.
Bercakap kepada Scoop, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, harga menu makanan terutama yang berasaskan telur tidak dapat diturunkan memandangkan harga bahan mentah lain masih meningkat.
“Kalau nak turun (harga makanan) kerana telur turun 3 sen di restoran kendalian kami, ia masih tak munasabah lagi, sebab kita masih terpaksa menyerap lain-lain kos kenaikan barang buat masa ini.
“Sekarang ini bukan isu nak turunkan harga makanan tetapi nak mengekalkan harga sedia ada supaya tiada kenaikan itu paling penting.
“Kita bukan nak membebankan pengguna, sebab sekarang ini semua terkesan, bukan sahaja B40 malah M40 juga susulan kenaikan harga diesel baru-baru ini.
“Dari segi lojiknya, logistik akan naik harga, tapi kita tak mahu bersangka buruk, seboleh-bolehnya kita cuba mengekalkan harga sedia ada dan menjamin tiada kenaikan dalam masa terdekat ataupun masa panjang, itu saya rasa lebih penting,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan harga runcit bagi telur gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan 3 sen sebiji berkuat kuasa Isnin lalu.
Beliau berkata, penurunan terbabit adalah selaras usaha mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat.
Mengulas lanjut, Jawahar berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pengurangan harga barangan asas supaya manfaat itu dapat dikembalikan kepada rakyat.
“Kebimbangan kami ketika ini ialah kos logistik kenderaan yang membawa bahan mentah untuk restoran susulan penyasaran subsidi diesel.
“Pengurangan harga barangan asas secara tidak langsung boleh membantu mengurangkan kos pengusaha dan manfaatnya nanti kepada pelanggan apabila membayar kadar makanan pada harga lebih rendah,” katanya.
Beliau juga berharap pengusaha restoran dapat mencari jalan untuk mengelak kenaikan harga makanan walaupun berdepan kenaikan bekalan bahan mentah.
“Yang paling penting terletak kepada budi bicara pemilik restoran itu sendiri, kalau niat nak bersama membantu kerajaan, menjaga kebajikan pelanggan maknanya kalau kita dapat jual dengan harga murah, itu lebih baik berbanding jual harga premium tapi pelanggan kurang,” katanya. – 22 Jun, 2024