KUALA LUMPUR – Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki Blackrock, firma pelaburan yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat (AS) menjelaskan syarikat itu tidak terlibat dalam usaha menswastakan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melalui Gateway Development Alliance (GDA).
Ketua Pengangkutan di GIP dan Pengarah GDA, Phil Iley berkata, pada Januari 2024 diumumkan bahawa GIP telah diambil alih oleh BlackRock dengan urus niaga itu dijangka selesai pada suku ketiga 2024.
Menurutnya, BlackRock mengiktiraf kepakaran GIP dalam pelaburan infrastruktur.
“Selepas urus niaga ditutup, pasukan kepimpinan sedia ada GIP akan mengekalkan kawalan dan tanggungjawab penuh ke atas hala tuju strategik dan operasi GIP dan syarikat di mana kami telah melabur,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Bernama.
GIP ialah pelabur infrastruktur terkemuka yang menguruskan aset AS$112 bilion (RM527.5 bilion) bagi pihak pelaburnya, yang terdiri daripada kira-kira 500 pelabur institusi di seluruh dunia.
Untuk rekod, GDA dan pemegang sahamnya pada 15 Mei lalu mengumumkan tawaran sukarela pra-syarat untuk mengambil alih semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki oleh Konsortium pada harga tawaran RM11 sesaham yang bersamaan dengan RM18. 4 bilion.
Konsortium itu diterajui oleh dua Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan Malaysia – Khazanah Nasional Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Iley berkata, GIP pakar dalam melabur, mengurus dan mengendalikan beberapa perniagaan infrastruktur terbesar dan paling kompleks di dunia, termasuk beberapa lapangan terbang.
“GIP yakin dengan potensi MAHB dan Malaysia, dan percaya GDA boleh mengembangkan MAHB melalui inisiatif yang akan meningkatkan pengalaman penumpang, meningkatkan sambungan syarikat penerbangan dan menaik taraf infrastruktur lapangan terbang.
“Kami yakin bahawa inisiatif ini akan memberikan manfaat ekonomi yang berkekalan, bukan sahaja untuk MAHB dan pemegang kepentingannya, tetapi juga untuk rakyat dan ekonomi Malaysia,” katanya.
Menurut Iley, tawaran GDA adalah satu peluang menggunakan kepakarannya untuk menyampaikan penambahbaikan di MAHB yang akan memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan.
Katanya, ini termasuklah penumpang, syarikat penerbangan, kakitangan dan kumpulan perniagaan lebih luas yang berhubung dengan lapangan terbang MAHB, daripada pelancongan kepada pembuatan.
“Dengan membuat pelaburan yang besar dalam MAHB, kami dan rakan kongsi diberi insentif untuk memastikan ia mencapai cita-cita yang kami ada untuknya.
“Selain itu, walaupun kami hanya akan menjadi pemegang saham minoriti, kami menjangka dapat memainkan peranan sebagai rakan kongsi teknikal dalam GDA dan memberi sokongan dan bantuan operasi yang diperlukan MAHB.
“Kami dan rakan kongsi optimis dan komited untuk berusaha membawa MAHB ke peringkat seterusnya,” katanya.
Iley juga menegaskan bahawa GIP berusaha untuk melabur dalam aset infrastruktur besar di seluruh dunia yang menyediakan perkhidmatan penting dan menyokong pertumbuhan ekonomi.
“MAHB mempunyai prospek yang sangat baik untuk mendapatkan semula kedudukan pasarannya dan menambah baik sambungan rangkaiannya, yang menunjukkan prestasi kurang baik dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.
Katanya, GIP ialah pelabur jangka panjang dan lazimnya melabur di lapangan terbang selama lebih 10 tahun dan perlu membuat keputusan pelaburan jangka panjang dengan rakan kongsi mereka untuk memastikan lapangan terbang MAHB mempunyai kapasiti mencukupi untuk beberapa dekad akan datang.
“Adalah lebih penting bagi kami untuk menyedari potensi di seluruh rangkaian lapangan terbang, dan bukannya didorong oleh tarikh keluar yang ditetapkan.
“Sekiranya kami berjaya dengan transformasi ini, kami akan mempertimbangkan untuk menyenaraikan semula MAHB di Bursa Saham Malaysia pada masa hadapan,” katanya