KUALA LUMPUR — Sebuah pesawat Malaysia Airlines MH199 yang membawa 138 penumpang dan kru menuju ke Kuala Lumpur dari Hyderabad, terpaksa berpatah balik susulan isu teknikal, awal pagi tadi.
Pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Rajiv Gandhi (RGIA) pada 12.30 pagi dan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 7.10 pagi tadi.
Bagaimanapun sebaik berlepas, pesawat Boeing 737-800 tersebut berdepan dengan masalah enjin dan berpatah balik ke Hyderabad lalu mendarat pada 3.58 pagi, lapor The Times of India.
Dalam pada itu, video yang dimuat naik di aplikasi X menunjukkan enjin di bahagian sayap kanan pesawat itu mengeluarkan percikan api, selepas 15 minit berlepas.
Portal berita The Hindu dalam pada itu memaklumkan Malaysia Airlines mengesahkan pendaratan cemas dan masalah enjin itu.
Jurucakap berkenaan berkata, penginapan telah disediakan kepada penumpang terjejas dan ia sedang berusaha mengatur penerbangan alternatif.
Scoop telah menghubungi Malaysia Airlines untuk perkembangan mengenai insiden dan penumpang yang terlibat. – 20 Jun, 2024