KUALA LUMPUR – Polis mengesan pelaku dalam video tular sejak semalam memaparkan insiden seorang lelaki memukul isterinya di sebuah hotel di Port Dickson, Negeri Sembilan selepas ‘kantoi’ curang.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai video tular berdurasi 0:31 saat di media sosial pada jam 3 petang memaparkan pasangan suami isteri itu bergaduh di sebuah hotel.
Menurutnya, siasatan mendapati pergaduhan itu membabitkan pasangan suami isteri dan berlaku pada pada jam 9.50 pagi, 24 Mei lalu di sebuah hotel di Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Punca kejadian dipercayai suaminya telah berlaku curang dan tidur di sebuah hotel.
“Akibat daripada kejadian ini, mangsa mengalami kecederaan di bahagian pipi dan sakit di beberapa anggota badan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan kejadian itu, Aidi Sham berkata, mangsa telah membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 323/18A Akta Keganasan Rumah Tangga.
“Orang ramai dinasihati agar tidak menularkan isu tersebut yang boleh mengganggu siasatan polis dan mendatangkan kegusaran awam,” katanya.
Berdasarkan keterangan dalam video yang tular di media sosial itu, isteri lelaki berkenaan yang dikatakan baru habis berpantang pergi sendiri ke bilik suaminya di hotel itu sebelum terjadi pergaduhan antara mereka. – 20 Jun, 2024