Isu puasa pada hari Tasyrik, Ustaz Don minta maaf sebab jawab mengelirukan

Terdahulu, tular audio di media sosial Ustaz Don menjawab soalan tersebut daripada pendengar sebuah stesen radio

5:01 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Belum pun reda isu digugurkan daripada mengendalikan program Salam Baitullah di RTM, pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid sekali lagi dikecam netizen gara-gara kenyataannya berhubung isu berpuasa pada hari Tasyrik.

Ustaz Don, 40, dalam satu perkongsian di sebuah stesen radio berkata, salah satu hari yang tidak boleh berpuasa ialah pada hari raya pertama sama ada pada Hari Raya Aidifitri atau Aidiladha.

Bagaimana jawapan tersebut menerima kecaman ramai kerana didakwa mengelirukan memandangkan umat Islam turut dilarang berpuasa pada hari Tasyrik yang merujuk hari ke-11, 12 dan 13 bulan Zulhijjah.

Susulan itu, beliau tampil memohon maaf di atas kenyataan yang mengelirukan itu.

“Assalamualaikum WBT kepada semua. Saya minta maaflah sebab menjawab dalam keadaan mengelirukan. Saya minta maaf kepada semua.

“Minta maaf banyak-banyak, semoga Allah Taala mengampunkan dosa kita semua. Minta maaf semua.

“Okey jawapan yang betul pada Hari Raya Aidiladha tak boleh puasa dan pada hari Tasyrik juga, termasuk sekali hari raya kedua, ketiga dan keempat iaitu pada hari 11,12 dan 13 (Zulhijjah). Okey,” katanya.

Terdahulu, tular audio di media sosial Ustaz Don menjawab soalan tersebut daripada pendengar di sebuah stesen radio.

Dia menjawab diharamkan untuk berpuasa pada hari raya pertama sama ada pada Hari Raya Aidilfitri mahupun Aidiladha.

“Jadi kalau tanya boleh tak berpuasa pada Hari Raya Haji, tak boleh kalau hari raya yang pertama. Hari raya kedua, ketiga dan keempat bolehlah.

“Sama juga macam Aidilfitri. Aidiladha tak boleh, Aidilfitri tak boleh pada hari raya pertama,” katanya.

Menurutnya, penjelasan itu agak mengelirukan kerana soalan yang diajukan adakah tidak boleh berpuasa pada hari raya pertama, maka jawapan diberikan berdasarkan hari raya pertama sahaja.

“Soalan itu ditanya, Ustaz boleh puasa tak pada Hari Raya Aidiladha? Jadi masa saya rakam kami tanya ini hari raya pertama sahajakah? Hari raya pertama sahaja dia jawab, untuk kita beritahu yang mudah.

“Jawapan yang panjang sepatutnya Hari Raya Aidiladha dan Aidilfitri hari pertama tak boleh puasa, sama macam Aidilfitri hari raya kedua, ketiga dan keempat itu baru boleh puasa. Berbeza dengan Hari Raya Aidiladha ada hari Tasyrik pada 11, 12 dan 13.

“Bila jadi macam itu panjang huraiannya. Masa itu nak bagi faham sahaja, hari raya pertama tak boleh puasa. Itu sahaja. Tapi saya minta maaf, sebab jawab mengelirukan. Maafkan saya,” katanya lagi.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam satu hantaran di Facebook turut memaklumkan adalah haram berpuasa pada hari-hari Tasyrik pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah bersamaan 18, 19 dan 20 Jun 2024. – 19 Jun, 2024

Topics

Hangat

Islam larang tegur raja, pemerintah tanpa adab, taat setia bukan perkara main-main: Mimbar

Taat setia kepada raja, pemerintah, pemimpin dan ketua harus ditunjukkan sebaik mungkin, malah bukan perkara main-main yang boleh dipandang sebelah mata.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Why is Hamidin being blamed for recent sports controversies?

As FAM president, OCM deputy president, among other posts, he has received outsized criticism for matters out of his jurisdiction

Related