Insiden Balai Polis Ulu Tiram: 5 ahli keluarga suspek didakwa sokong keganasan, tanam ideologi IS

Tertuduh membabitkan bapa dan ibu suspek, selain tiga adik-beradik pelaku yang didakwa atas sembilan pertuduhan berasingan

11:38 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Lima ahli keluarga suspek kes serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru pada 17 Mei lalu, didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas sembilan pertuduhan berasingan.

Pertuduhan itu termasuk menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (IS).

Tertuduh membabitkan bapa dan ibu suspek, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62 serta Rosna Jantan, 59, yang juga warga Singapura, selain tiga adik-beradik pelaku, iaitu Radin Romyullah Radin Imran, 34, Farhah Sobrina Radin Imran 23 dan Mariah Radin Imran, 19.

Radin Imran berdepan empat pertuduhan, termasuk Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574), iaitu menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan pengganas IS.

Fahaman itu didakwa disemai kepada semua anggota keluarganya, termasuk membabitkan suspek serangan terbabit, Radin Luqman, isteri serta tiga anaknya yang lain.

Dalam pendakwaan itu, anak lelaki sulungnya berdepan dua pertuduhan, manakala isteri dan dua anak perempuan Radin Imran masing-masing berdepan satu pertuduhan.

Terdahulu, lima individu terbabit tiba di mahkamah pada kira-kira jam 9 pagi untuk berdepan pertuduhan kes itu.

Difahamkan, mereka yang tiba dengan dibawa menaiki van Polis Diraja Malaysia (PDRM), dikawal ketat kira-kira 30 anggota polis untuk memasuki kamar mahkamah.

Kes terbabit turut menyaksikan pengamal media berkumpul di pekarangan mahkamah berkenaan sejam jam 7 pagi untuk membuat liputan.

Pada 24 Mei lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, lima ahli keluarga suspek itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Menurutnya, di bawah Sosma, Cawangan Khas Bukit Aman menjalankan siasatan, manakala Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) meneruskan siasatan berkait Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api.

Sebelum ini, tujuh individu termasuk lima ahli keluarga suspek berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, dua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang turut direman, dibebaskan tanpa syarat.

Dalam kejadian serangan pada jam 2.54 pagi 17 Mei lalu itu, tiga disahkan maut, iaitu dua anggota polis, Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, serta suspek yang berumur 21 tahun.

Manakala, seorang anggota berpangkat koperal pasukan keselamatan itu, Mohd Hasif Roslan cedera ditembak dan dirawat di Hospital Sultan Ismail beberapa hari. – 19 Jun, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

Related