Cuepacs tidak senada SPRM isu rasuah penjawat awam, ‘patut banteras akar umbi’

Gaji rendah bukan penyebab utama rasuah, sebaliknya kerana wujudnya peluang, kelemahan peribadi dan tidak berintegriti

3:30 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pandangan bahawa usaha menaikkan gaji penjawat awam tidak semestinya berkesan dalam membendung rasuah, seolah-olah menggambarkan faktor utama kerajaan meningkatkan pendapatan kakitangannya adalah untuk memerangi jenayah terbabit.

Menyifatkan pandangan dilontarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu sebagai tidak wajar, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menegaskan, pihaknya juga tidak bersetuju apabila konteks kenaikan gaji penjawat awam itu dilihat daripada sudut tertentu sahaja seperti untuk membendung gejala rasuah.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, gaji rendah mungkin adalah satu daripada punca kepada berlakunya gejala rasuah, namun ia bukanlah penyebab utama.

“Faktor dalaman yang menyebabkan seseorang melakukan rasuah adalah kerana wujudnya peluang, kelemahan peribadi dan tidak berintegriti.

“Buktinya dapat dilihat melalui laporan media setiap hari apabila, penjenayah rasuah terdiri daripada pelbagai kumpulan masyarakat dan rata-ratanya mempunyai jawatan serta kedudukan tertentu,” katanya menerusi kenyataan.

Adnan berkata, pelaku kes rasuah juga tidak hanya terdiri daripada penjawat awam, malah membabitkan orang awam yang mempunyai nilai kekayaan luar biasa.

Justeru, katanya, Cuepacs menyarankan pihak berkuasa mengubah pendekatan dalam tindakan, iaitu memberi fokus kepada punca gejala rasuah pada peringkat akar umbi, dengan menyasarkan kepada pemberi rasuah.

Tegasnya, kesalahan pemberi adalah sama dengan yang menerima rasuah dan jika disabitkan, seseorang itu akan berhadapan hukuman berat termasuk dipenjara serta didenda.

“Yang mengecewakan adalah apabila pemberi rasuah tidak didakwa, malah dijadikan saksi untuk mendakwa mereka yang menerima rasuah.

“Ketika ini kita banyak didedahkan dengan tangkapan individu yang menerima rasuah sahaja, hingga ramai mempersoalkan ke mana hilangnya pemberi rasuah terbabit.

“Jenayah rasuah tidak akan dapat dibanteras sepenuhnya jika agensi penguatkuasaan, tidak menumpaskan sumber atau akar umbi kepada punca gejala terbabit,” katanya.

Beliau berkata, pemberi rasuah akan mencari pelbagai jalan untuk mendapatkan mangsa mereka bagi mengaut keuntungan daripada transaksi.

“Jika kita putuskan rantaian pemangsa ini, sudah tentu permasalahan rasuah ini dapat ditangani dengan lebih berkesan.

“Jika usaha memburu pemberi rasuah ini diperhebatkan, Cuepacs yakin masyarakat lebih takut untuk terbabit dalam salah laku berkenaan,” katanya.

Pada masa sama, Adnan berkata, Cuepacs mengakui SPRM sudah berusaha sebaiknya dalam menguatkuasakan undang-undang dan pihaknya bersama penjawat awam, sedia bersama-sama dengan suruhanjaya berkenaan bagi memastikan komitmen terbabit dipergiat.

“Cuepacs sekali lagi menegaskan bahawa tindakan segelintir penjawat awam terbabit dalam gejala rasuah, tidak mencerminkan keseluruhan integriti dan akauntabiliti penjawat awam negara.

“Penglibatan dalam rasuah dan salah laku itu adalah tindakan sebilangan kecil penjawat awam dan tidak mewakili 1.7 juta warga penjawat awam, justeru Cuepacs menyeru semua pihak, termasuk masyarakat awam memberi sokongan kepada sektor berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, keputusan kerajaan menaikkan gaji penjawat awam baru-baru ini, adalah usaha untuk merapatkan jurang pendapatan dengan kos sara hidup tinggi ketika ini.

Usaha itu juga, katanya, adalah komitmen kerajaan untuk mengimbangi pendapatan antara pekerja gred rendah dan tinggi yang terlalu besar jurangnya.

Malah, ujarnya, jurang itu juga tidak mencerminkan situasi sebenar pendapatan purata isi rumah di peringkat nasional.

“Kenaikan gaji bakal dinikmati penjawat awam ini, perlu bergerak seiring dengan kualiti kerja yang lebih baik bagi memastikan impak kepada kenaikan terbabit, dapat membantu perkembangan ekonomi.

“Hal ini termasuklah melaksanakan kerja dengan penuh tanggungjawab dan mengelakkan perkara melanggar tadbir urus serta penyelewengan,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, usaha menaikkan gaji penjawat awam tidak semestinya berkesan membendung penularan rasuah dalam struktur kerajaan.

Pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan gaji penjawat awam akan dinaikkan lebih 13 peratus berkuat kuasa Disember ini. – 18 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

The ‘powerful’ fallacy of MCMC – Wong Chun Wai

New regulations are needed to police rampant crimes committed on social media platforms used by millions of Malaysians

Related