Mudahkan urusan penempatan Rumah Selangorku, kami bukan nak rumah percuma: Penduduk Kg Sri Makmur

Antara syarat dikenakan gaji minimum RM3,000 ke atas, perlu mempunyai caruman KWSP serta slip gaji sedangkan kebanyakan penduduk itu adalah peniaga dan pesara

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tidak semua daripada 14 keluarga di Kg Sri Makmur, Gombak layak mendapat pinjaman untuk penempatan semula di Rumah Selangorku, disebabkan syarat-syarat tertentu yang ditetapkan oleh pihak bank.

Bercakap kepada Scoop, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Persatuan Perantau Sri Makmur (PPSM), Noora Mustafa berkata, antara syarat yang dikenakan ialah gaji minimum RM3,000 ke atas, perlu mempunyai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta ada slip gaji.

Sebaliknya, kata Noora, kebanyakan penduduk itu adalah peniaga serta pesara justeru mereka tidak mempunyai slip gaji sekali gus menyukarkan proses permohonan.

“Terdapat tiga peringkat bayaran untuk mendapatkan Rumah Selangorku iaitu pembayaran deposit sebanyak RM6,500 dan bayaran 50% ketika menunggu proses dokumentasi serta baki bayaran dibuat selepas mendapat kunci.

“Proses itu mengambil masa sebulan lebih dan secara berperingkat.

“Apa yang kita minta adalah supaya urusan penempatan semula ini dipermudahkan. Kita bukannya nak rumah secara percuma cuma mahu memudahkan urusan,’’ katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Persatuan Perantau Sri Makmur, Noora Mustafa berkata, penduduk terlibat hanya meminta urusan penempatan semula ini dipermudahkan, bukan mahu rumah secara percuma. – Halim Salleh/Scoop, 18 Jun, 2024

Kerajaan Selangor sebelum ini menawarkan pembelian seunit Rumah Selangorku dengan harga subsidi RM65,000 serta sagu hati ‘ex-gratia’ sebanyak RM1,000 kepada 21 setinggan asal, berdasarkan pengesahan bancian pada 2006 dan 2016 mengikut senarai Pejabat Daerah dan Tanah Gombak.

Pada 27 Mei lalu, penduduk di kampung terbabit diarah mengosongkan kediaman mereka bagi memberi laluan kepada pembangunan kondominium di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang diduduki mereka.

Malah, berdasarkan kenyataan media PKNS sebelum ini, isu di kawasan itu bermula sejak Julai 2006 yang menyaksikan operasi perobohan dilaksanakan terhadap sebahagian unit rumah, namun bancian pada 2016 mendapati jumlah rumah meningkat 204 unit berbanding 80 buah pada 2006.

PKNS memaklumkan penjualan tanah di kampung itu kepada sebuah syarikat dimeterai pada 8 September 2020 dan syarikat tersebut memperoleh perintah mahkamah untuk melaksanakan tindakan meroboh semua struktur di tanah itu pada 14 Mei lepas.

Mengulas lanjut, Noora berkata, bagi sembilan penduduk yang tercicir daripada penempatan semula itu, mereka masih menunggu keputusan daripada pihak Menteri Besar (MB), Datuk Seri Amirudin Shari.

“Pihak MB akan cuba selesaikan dan pertimbangkan selepas beliau selesai mengerjakan ibadah haji,’’ katanya. – 18 Jun, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

US embassy refutes claims of new sanctions on Malaysian companies  

Washington has not listed Putrajaya as ‘state sponsor of terror’, it clarifies

Islam larang tegur raja, pemerintah tanpa adab, taat setia bukan perkara main-main: Mimbar

Taat setia kepada raja, pemerintah, pemimpin dan ketua harus ditunjukkan sebaik mungkin, malah bukan perkara main-main yang boleh dipandang sebelah mata.

Related