KUALA LUMPUR – Anak jati Sungai Bakap, Pulau Pinang, Abidin Ismail, 56, dipilih sebagai calon mewakili parti Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, 6 Julai ini.
Pengumuman tersebut dibuat Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam majlis pengisytiharan calon yang diadakan di Bandar Tasek Mutiara, Pulau Pinang, malam ini.
Abidin yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal sebelum ini bergelar pembantu peribadi kepada penyandang kerusi, Nor Zamri Latiff, 56, yang meninggal dunia akibat keradangan dalam perut, 24 Mei lalu.
“Insya-Allah saya akan teruskan legasi Abang Zam (Nor Zamri), banyak yang saya belajar daripada dia (sebelum ini),” katanya.
Abidin dilahirkan di Kampung Sungai Duri, malah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Duri dan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Sheh Barakbah.
Beliau berpengalaman bekerja selama 30 tahun sebagai Eksekutif Logistik di USG Sdn Bhd.
Abidin juga merupakan Pengarah Pilihan Raya PAS DUN Sungai Bakap dan menjadi Pengerusi Masjid Sungai Duri.
SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini manakala 22 Jun dan 2 Julai adalah hari penamaan calon dan hari pengundian awal.
Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Rabu lalu, PH mengumumkan bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin sebagai calon untuk bertanding pada PRK Sungai Bakap. – 15 Jun, 2024