Kontroversi Ustaz Don: Perlu ada garis panduan tegas tangani penyebaran hadis palsu

Bekas Mufti Pulau Pinang menasihatkan pendakwah dan asatizah untuk berhati-hati dalam segala ucapan dan kuliah disampaikan kepada masyarakat awam

10:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Garis panduan yang tegas dan jelas perlu diwujudkan pihak berkuasa bagi memastikan penyebaran hadis palsu tidak berlaku.

Bercakap kepada Scoop, bekas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Mohd Noor berkata, pihak berkuasa juga perlu memantau segala program sama ada ceramah, kuliah mahupun forum yang disiarkan menerusi pelbagai platform termasuk di media sosial.

Menurutnya, pendakwah dan asatizah juga perlu berhati-hati dalam segala ucapan dan kuliah disampaikan kepada masyarakat awam supaya tidak terlibat dengan penyebaran hadis palsu.

“Untuk itu garis panduan yang tegas dan jelas perlu diwujudkan oleh pihak-pihak berkaitan.

“Mana-mana individu yang gagal mematuhinya perlu direhatkan daripada bersiaran atau dikenakan tindakan yang bersesuaian,” katanya.

Datuk Seri Wan Salim Mohd Noor berkata, pihak berkuasa juga perlu memantau segala program sama ada ceramah, kuliah mahupun forum yang disiarkan menerusi pelbagai platform termasuk di media sosial – Gambar Facebook Wan Salim Mohd Noor, 15 Jun, 2024

Beliau berkata demikian mengulas isu hadis palsu termasuk kontroversi membabitkan pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid atau lebih dikenali sebagai Ustaz Don.

Hanya seminggu selepas kembali mengacarakan program Salam Baitullah terbitan RTM di TV1, Ustaz Don ditamatkan tugas selepas mencetuskan kontroversi terbaru kelmarin.

Isu itu menjadi kontroversi apabila Ustaz Don didakwa membuat ungkapan mengenai memandang wajah guru lebih baik berbanding bersedekah 1,000 ekor kuda di jalan Allah.

Ia mengakibatkan ramai mempertikaikan kesahihan hadis berkenaan dan meminta beliau menunjukkan bukti hadis yang sahih mengenainya.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, ilmu hadis adalah salah satu ilmu yang penting bagi umat Islam kerana peranannya yang besar dalam menghuraikan kandungan al-Quran kepada umat Islam.

“Apa yang dimaksudkan dengan hadis atau sunnah ialah segala yang terbit daripada Rasulullah SAW sama ada perkataan, perbuatan mahupun pengakuan Baginda.

“Lantaran itu, penyebaran hadis sama ada melalui penulisan, pengajaran, penyiaran dan pelbagai media cetak, elektronik dan lain-lain media sosial adalah termasuk antara amalan kebajikan yang amat digalakkan.

“Cuma perlu dipastikan status sesuatu hadis sebelum disebarkan kepada khalayak pembaca atau pendengar.

Hanya seminggu selepas kembali mengacarakan program Salam Baitullah terbitan RTM di TV1, Ustaz Don (tengah) ditamatkan tugas selepas mencetuskan kontroversi terbaru kelmarin – Tangkapan layar, 15 Jun, 2024

“Ini adalah supaya dapat dikenalpasti adakah hadis berkenaan sahih yang boleh diterima atau maudu’ (palsu) yang wajib ditolak,” katanya.

Tambah beliau, golongan ilmuan dalam bidang hadis dan mustalah hadis hendaklah menunaikan tanggungjawab mereka untuk menjelaskan kepada masyarakat mengenai bahaya penyebaran hadis palsu.

“Ini supaya kita semua terhindar daripada melakukan pembohongan ke atas Nabi SAW yang amat besar dosanya sebagaimana yang difahami daripada sebuah hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim dan yang telah diijmakkan oleh para ulamak.

“Larangan daripada menyebar hadis palsu sama sahaja, sama ada hadis yang membabitkan hukum-hakam mahupun dalam hal-hal targhib yang bertujuan menggemarkan kepada kebaikan atau tarhib untuk menakutkan daripada melakukan keburukan,” katanya.

Pada 5 Jun lalu, RTM ‘merehatkan’ Ustaz Don daripada program Salam Baitullah selepas dikritik susulan dakwaannya berkaitan kehidupan Nabi Muhammad SAW. – 15 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

Related