2 lelaki, salah seorang mempunyai 38 rekod jenayah dan dadah ditembak mati

Polis turut menemui sepucuk pistol pada badan salah seorang suspek dan pelbagai jenis bahan dipercayai dadah berbahaya dalam kenderaan dinaiki mereka

8:30 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Polis menembak mati dua lelaki dipercayai penjenayah dengan salah seorang daripada mereka mempunyai 38 rekod jenayah dan dadah, di Jalan Abad, Johor Bahru, petang semalam.

Ketua Polis Johor, M Kumar berkata, suspek yang mempunyai rekod jenayah itu berusia 42 tahun manakala seorang lagi masih belum dikenal pasti memandangkan tiada dokumen pengenalan diri ditemui padanya.

Kejadian berlaku pada kira-kira jam 5.04 petang.

Beliau memberitahu, polis turut menemui sepucuk pistol pada badan salah seorang suspek dan pelbagai jenis bahan dipercayai dadah berbahaya dalam kenderaan yang dinaiki mereka.

“Kejadian berlaku semasa sepasukan polis dari Bahagian D14, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian D9, JSJ Kontinjen Johor mengekori sebuah Toyota Estima berwarna putih di lokasi kejadian dalam keadaan mencurigakan.

“Apabila menyedari telah diekori, suspek bertindak melarikan diri sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis yang sedang mengekori rapat.

“Tindakan suspek menyebabkan pihak polis turut melepaskan tembakan ke arah MPV dinaiki suspek, kejadian berbalas tembakan berlarutan sehingga keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memberitahu, pemeriksaan mendapati suspek dalam kenderaan mpv itu telah terkena tembakan dan meninggal dunia.

“Siasatan dijalankan di bawah seksyen 307 kanun keseksaan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya ke talian hotline polis Johor di talian 019-2792095 atau talian bilik gerakan 07-221299,’’ katanya. – 15 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related