Pengusaha bas sekolah cadang naik tambang bukan ahli persatuan: Muruga

Terdapat kira-kira 15,000 pengusaha bas di seluruh Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak,hanya 3,000 berdaftar dengan Persatuan Gabungan Pengusaha dan Pemandu Bas Sekolah Malaysia

11:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kebanyakan pengusaha bas sekolah yang bercadang menaikkan tambang susulan penyasaran subsidi diesel yang diumumkan baru-baru ini bukan ahli berdaftar dengan Persatuan Gabungan Pengusaha dan Pemandu Bas Sekolah Malaysia.

Bercakap kepada Scoop, pengerusinya M. Muruga berkata, ahli-ahli persatuan itu tidak akan mencadangkan kenaikan kerana memahami kesusahan yang akan ditanggung oleh ibu bapa.

Jelasnya, kadar standard tambang bas di sekitar Lembah Klang adalah antara RM70 hingga RM100 manakala di kawasan luar bandar dan kampung pula kebiasaannya dari RM50 hingga RM70.

“Bagi ahli persatuan, kami dah berbincang memang tiada sebarang kenaikan tambang kerana kami pun memahami kesukaran ibu bapa sekiranya tambang dinaikkan dalam masa terdekat ini,” katanya ketika dihubungi.

Muruga memaklumkan, terdapat kira-kira 15,000 pengusaha bas di seluruh Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak namun hanya 3,000 yang berdaftar dengan Persatuan Gabungan Pengusaha dan Pemandu Bas Sekolah Malaysia.

“Jadi, saya percaya mereka yang bercadang nak naikkan tambang ini merupakan pengusaha-pengusaha yang tidak berdaftar di bawah persatuan (disebabkan itu mereka sewenang-wenangnya mahu naikkan tambang),” katanya.

Menurut Pengerusi Persatuan Gabungan Pengusaha dan Pemandu Bas Sekolah Malaysia, M. Muruga berkata, ahli-ahli persatuan itu tidak akan mencadangkan kenaikan kerana memahami kesusahan yang akan ditanggung oleh ibu bapa. – Gambar Facebook, 15 Jun, 2024

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kerajaan tidak teragak-agak mengambil tindakan menarik balik lesen pengusaha bas sekolah jika mereka menaikkan tambang perkhidmatan itu.

Ini kerana, kata Perdana Menteri, kenaikan tidak sepatutnya berlaku memandangkan perkhidmatan itu menerima subsidi diesel daripada kerajaan.

Mengulas lanjut, Muruga menggesa agensi yang berkaitan mengambil tindakan segera sekiranya ada aduan daripada ibu bapa mengenai kenaikan tambang ini.

Menurutnya, kadar tambang bas sekolah pada masa kini adalah berdasarkan kepada lokasi sekolah dan kawasan kepadatan penduduk di sesuatu kawasan tersebut.

“Walaupun lebih 12,000 pengusaha bas tidak berdaftar di bawah persatuan, namun mereka masih lagi tertakluk di bawah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) kerana agensi itu yang membekalkan lesen, jadi adalah wajar untuk menarik semula lesen jika mereka ingkar dengan menaikkan tambang.

Scoop baru-baru ini melaporkan pengusaha bas sekolah khususnya di Lembah Klang merancang untuk menaikkan kadar tambang susulan langkah kerajaan melaksanakan subsidi diesel bersasar, menyaksikan harga runcit bahan api itu di semua stesen minyak di Semenanjung ditetapkan RM3.35 seliter.

Menurut pengusaha bas sekolah itu, perkara itu tidak dapat dielakkan jika mengambil kira hasil keuntungan selepas ini.

Kuota isi padu minyak melalui fleet card adalah terhad, dan ia sesuatu yang sukar buat pengusaha bas sekolah kerana keuntungan yang diperoleh sedikit. – Riduan Ahmad/Scoop, 15 Jun, 2024

“Kuota isi padu minyak melalui fleet card terhad tapi untuk pengusaha bas sekolah, berat untuk ditanggung kerana keuntungan kami dapat adalah sedikit. Ada di antara kami yang sekarang hanya dalam keadaan bertahan,’’ kata salah seorang pengusaha bas sekolah, Nurul Nurliana Rusman.

Pada 10 Jun lalu, harga runcit diesel di semua stesen minyak di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter berkuatkuasa, sebagai sebahagian daripada langkah kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, harga diesel bagi Sabah, Sarawak dan Labuan, bagaimanapun kekal pada kadar RM2.15 seliter. – 15 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related