KUALA LUMPUR – Satu kebakaran besar berlaku di taman tema Genting Skyworlds (outdoor), Genting Highlands sekitar jam 4.55 petang tadi.
Video-video yang tular di media sosial menunjukkan asap tebal menyelubungi bangunan berkenaan manakala orang ramai berkumpul di luar berhampiran terminal bas Genting Sky Avenue.
Bomba difahamkan telah tiba di lokasi kejadian dan sedang giat memadamkan api kebakaran.
Dalam pada itu, komander Jabatan Bomba dan Penyelamat Genting Highland, Muhamad Azim Zakaria berkata, kebakaran itu melibatkan kebakaran bangunan di tingkat 2 taman tema dan merebak ke tingkat empat.
Beliau berkata, bomba menggunakan dua aliran hos 200 kaki, dua nozzle dan mengambil air dari pili bomba bertekanan untuk memadamkan kebakaran.
“Operasi sedang berjalan,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, pihaknya turut mendapat bantuan dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Genting, balai bomba bantuan dari Bentong dan Janda Baik. – 14 Jun, 2024