CHUKAI – Seorang bayi perempuan berusia lima bulan patah tangan kiri dan mengalami pendarahan di kepala ketika berada dalam jagaan pengasuh di Paya Berenjut, Kemaman.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Hanyan Ramlan berkata, ibu bayi tersebut menerima panggilan daripada pengasuh pada jam 11 pagi semalam memaklumkan anaknya mengalami demam.
Ibu mangsa, katanya, bergegas ke rumah pengasuh dan mendapati bayinya berada dalam keadaan tidak bermaya.
“Dia terus bawa bayi itu ke Hospital Kemaman untuk pemeriksaan dan rawatan,’’ katanya kepada Bernama.
Hanyan memberitahu, polis menerima laporan daripada pegawai perubatan pada 1.30 petang semalam dan mangsa dilaporkan stabil serta ditempatkan di wad untuk pemantauan serta rawatan lanjut.
Pengasuh itu, ujar beliau, akan dipanggil memberi keterangan dalam waktu terdekat dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. – 14 Jun, 2024