Kes Zayn Rayyan: Polis akan siasat lebih lanjut jika ada arahan terbaru dari pendakwaraya

Di mahkamah nanti akan terzahir semuanya, polis sudah berusaha menyelesaikan kes dan menyerahkan proses seterusnya kepada pihak pendakwaraya

5:52 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Polis akan menjalankan siasatan dengan lebih lanjut sekiranya ada arahan terbaharu daripada pihak pendakwaraya berhubung kes kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

“Adakah siasatan lanjut akan terus dilakukan?, kita akan ambil daripada perkembangan perbicaraan nanti.

“Saya tidak boleh memberi kenyataan yang boleh memudaratkan perbicaraan, kita juga minta semua pihak media malah netizen buat laporan dengan bertanggungjawab.

“Di mahkamah itu nanti akan terzahir semuanya, Insya-Allah. Saya dah berusaha dan mencari reda Allah dalam konteks menyelesaikan kes ini dan kita serahkan proses seterusnya kepada pihak pendakwaraya,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai pertuduhan kes terhadap ibu bapa Zayn Rayyan yang dituduh mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini dan bukannya Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.

Mohd Shuhaily berkata, penyelesaian kes terbabit adalah bagi menzahirkan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh pegawai dan anggotanya.

“Ini kerja anak-anak buah saya, mereka tunjukkan dedikasi, disiplin dan komitmen selama enam bulan ini, mengambil kes ini secara serius.

“Mereka ini seharusnya wajar diberikan penghargaan sedalam-dalamnya selepas melunaskan tugas mereka sepanjang tempoh enam bulan.

“Sama ada hutang saya terjelas atau pun tidak, ia hanya akan menjadi misteri dan akan terungkai apabila perbicaraan selesai.

“Proses pertuduhan yang dibuat hari ini adalah keputusan terbaik yang diputuskan antara Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) JSJ dan pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.

Sebelum ini, Shuhaily berkata, siasatan kes Zayn Rayyan masih aktif dan tidak pernah ditutup dan menegaskan ia adalah hutangnya kepada masyarakat.

Ditanya apakah bukti mengaitkan suspek terbabit dengan pembunuhan Zayn serta sama ada suspek utama masih bebas jika ibu bapa Zayn bukan suspek utama, beliau bagaimanapun enggan menjawab perkara itu kerana subjudis.

“Itu saya tidak boleh jawab sebab perbicaraan akan berlangsung, perkara yang ditanya itu subjudis, jadi saya tak boleh jawab,” katanya.

Ibu bapa Zayn Rayyan didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan mengabaikan kanak-kanak di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Mengikut pertuduhan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal. – 13 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related