KUALA LUMPUR – Kesantunan jemaah haji Malaysia sepanjang mengerjakan ibadah itu seperti diakui pihak luar, bukan sahaja membanggakan negara, malah menunjukkan kejayaan Lembaga Tabung Haji (TH) merencana dan melaksana dasar sedia ada dengan sempurna.
Bercakap kepada Scoop, pakar geostrategi, Profesor Azmi Hassan berkata, segala persediaan, tunjuk ajar dan maklumat diberikan TH ketika kursus haji sangat membantu jemaah mengetahui apa perkara atau tindakan boleh dilakukan dan sebaliknya.
“Pujian mengenai tingkah laku jemaah kita (Malaysia) itu, memang tidak memeranjatkan, malah jemaah haji dari negara lain juga mengatakan perkara sama.
“Tingkah laku jemaah Malaysia ini bukan berlaku secara tidak sengaja, ini direncanakan, dirancangkan melalui dasar TH ataupun yang dilaksanakan TH, ia ada kursus,” katanya.

Azmi menyifatkan jemaah haji Malaysia bertuah kerana negara memiliki organisasi khusus seperti TH, bagi menguruskan persediaan mereka sebelum menjalani rukun Islam kelima itu.
“Bukan semua negara ada organisasi yang mengurus haji ini seperti TH, malah ada kala bergantung kepada jemaah sendiri tanpa apa-apa bantuan daripada kerajaan mereka mengenai pengurusan.
“Perkara ini dikatakan pernah jemaah haji dari sebuah negara dilarang masuk kerana tingkah laku mereka yang menggunakan haji itu sebagai pentas politik mereka,” katanya.
Menurut Azmi yang juga Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, sekiranya situasi baik antara Malaysia dengan Arab Saudi dalam perkara ini tidak dijaga sebaik mungkin, ia boleh mengakibatkan jemaah tempatan dipandang buruk.
“Jadi harapan kita pengurusan haji kita yang sempurna dikenalkan, termasuk dalam aspek pengetahuan jemaah.
“Ini bagi memastikan mereka (jemaah Malaysia) tahu apa patut dilakukan dan apa tak patut dilakukan kerana kalau ada masalah tingkah laku, ia akan terjadi seperti larangan diterima segelintir jemaah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar semalam, bahawa kualiti pentadbiran TH dan kesantunan jemaah haji Malaysia disebut negara luar.
Katanya, perkara itu dimaklumkan ketika beliau mewakili kerajaan Malaysia dalam Simposium Haji yang dianjurkan kerajaan Arab Saudi di Makkah sempena Musim Haji 1445 Hijri, baru-baru ini.

Persidangan dianjurkan sejak tahun 1970 itu, ujarnya, menghimpunkan ilmuan, cendekiawan serta pihak berkepakaran dalam pengurusan haji, bagi membincangkan perkara penting membabitkan aspek perundangan, fiqh, kawal selia dan teknologi masa depannya.
“Alhamdulillah, kualiti pentadbiran TH serta kesantunan jemaah haji Malaysia sentiasa disebut-sebut pelbagai pihak dari luar negara,” kata Na’im.
Sementara itu, Pensyarah Sosial (Etnik) Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Mohd Roslan Rosnon ketika dihubungi Scoop berkata, sikap sopan santun ditunjukkan jemaah tempatan juga turut disumbangkan masyarakat negara ini yang sememangnya menjalani kehidupan berteraskan budaya timur dan nilai tinggi.
Ujarnya, ia membuatkan mereka berpegang dan sangat mementingkan perkara itu apabila berkunjung ke mana-mana, termasuk di luar negara.
Roslan berkata, pegangan itu juga menyebabkan mereka mudah beradaptasi dengan budaya orang lain sebaik mungkin.

“Kita (masyarakat Malaysia) mempunyai tatacara kehidupan sangat teratur, secara umumnya begitu, itu dari segi budaya kita lah, jadi sebab itu bila kita pergi mana-mana, kita mudah adaptasi, mudah memberi, nampak kita sopan santun.
“Malah sebab itu di Malaysia kita banyak kedai negara luar, ia menjadi petunjuk kepada kita bahawa masyarakat Malaysia ni mudah beradaptasi, kita mudah menerima budaya orang lain, kita sangat terbuka di dalam kehidupan kita, bukan manusia rigid, menghormati orang, sangat merendah diri.
“Dalam konteks budaya Melayu kan ada istilah maruah, sebab tu orang Melayu kita ada tatacara kita sebab kita berpegang kepada maruah itu, maruah itu akan menjadi sandaran dalam kehidupan kita sebab tu kita baik dekat luar,” katanya.
Ditanya adakah kelakuan baik ditunjukkan jemaah Malaysia itu juga disebabkan mereka dibesarkan dalam negara yang berbilang kaum dan etnik, Roslan mengakuinya.
“Betul juga sebab kita dah biasa bertoleransi, itu saya kata sebab kita berpegang pada nilai, nilainya toleransi, jadi kita bertoleransi dengan pelbagai budaya, kita boleh menerima mengenai budaya orang lain.
“Itu semua menyebabkan kehidupan kita sudah dineracakan dalam bentuk begitu, jadi sebab itu kita mudah untuk menerima perbezaan dalam kalangan masyarakat,” katanya. – 13 Jun, 2024