KUALA LUMPUR — Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor harus berhenti mengulangi retorik murahannya bahawa Pulau Pinang mengambil air Sungai Muda secara percuma.
Pengerusi Amanah Pulau Pinang, Faiz Fadzil berkata, negeri pimpinan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow itu memiliki sebahagian dari Sungai Muda.
Katanya, ia kerana laluan sungai itu melalui Pulau Pinang sebelum memasuki Selat Melaka, justeru negeri berkenaan berhak menggunakan air terbabit selagi mana tidak mengganggu penggunaan Kedah.
“Sanusi dinasihatkan menghormati ‘prinsip riparian’ yang membenarkan semua pemilik tanah (dalam kes ini, Kedah dan Pulau Pinang) sepanjang sumber air menggunakan air berkenaan.
“Oleh itu, isu air Sungai Muda tidak harus dipolitikkan dan dijadikan bahan kempen menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap dengan membangkitkan sentimen dalam kalangan rakyat,” katanya.
Faiz berkata, tindakan Sanusi mengulangi retorik itu boleh dilihat sebagai keinginannya memulakan perang ekonomi antara Pulau Pinang dan Kedah, memandangkan air adalah asas pembangunan ekonomi.
“Sanusi dinasihatkan mencari punca pendapatan lain untuk mengeluarkan Kedah daripada kemiskinan mutlak yang tinggi, berbanding mengharapkan duit percuma.
“Kita tidak mahu suatu hari nanti, semua sungai di Malaysia difederalisasikan atau diletakkan bawah kuasa kerajaan Persekutuan akibat perbalahan antara kerajaan negeri,” katanya.
Beliau turut menasihatkan Sanusi supaya menguruskan air Kedah dengan lebih bertanggungjawab, memandang pada ketika ini, ‘non-revenue water (NRW)’ Kedah sudah melebihi 50 peratus.
Situasi itu, katanya, bermaksud paip dan saluran air di Kedah tidak diselenggara dengan baik oleh kerajaan PAS dan ia menyebabkan lebih separuh air dirawat hilang sebelum sampai ke rumah pengguna.
Mengulas lanjut, Faiz berkata, di Pulau Pinang, NRW jauh lebih rendah, iaitu pada kadar 26 peratus dan pelbagai usaha terus diambil untuk mengurangkan.
“Berbanding di Kedah, krisis bekalan air terus berlaku di Merbok, Sungai Petani dan Kuala Kedah, malah dua projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau dan LRA Sg Limau yang sepatutnya boleh menyelesaikan masalah air, masih lewat disiapkan,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, menjelang PRK Sungai Bakap, pengundi diminta memahami kegagalan dan ketidakupayaan Perikatan Nasional (PN), terutama PAS memberikan pentadbiran baik.
“Oleh itu, Amanah menyeru pengundi untuk memilih calon Kerajaan Perpaduan yang boleh membawa kemajuan ke Sungai Bakap dan Pulau Pinang.
“Ini masanya untuk membetulkan kesilapan lepas. Kerajaan Pulau Pinang sedang mengambil langkah konkrit mengatasi apa jua masalah di Sungai Bakap, termasuk isu bekalan air,” katanya.
Terdahulu, Sanusi dilaporkan berkata, kerajaan Kedah menawarkan Pulau Pinang untuk membeli air dari negeri ditadbirnya itu sebagai penyelesaian masalah air di Nibong Tebal.
Sanusi berkata, kerajaan negerinya sedia menjual air dari loji rawatan air (LRA) Lubuk Buntar di Bandar Baharu, Kulim yang kedudukannya 16 kilometer (km) dari sempadan Kedah-Pulau Pinang.
Menurutnya, tawaran itu dibuat selepas mendapati penduduk di kawasan Nibong Tebal dan Sungai Bakap masih berdepan dengan masalah air sejak lebih enam tahun lepas.
“Saya nak umum malam ini, Yang Berhormat Chow Kon Yeow (Ketua Menteri Pulau Pinang) kalau tidak ada air di Nibong Tebal saya ada lebihan air di LRA Lubuk Buntar… kalau nak (mahu) beli saya jual… saya (Kedah) bukan tidak ada air bersih… ada.
“(Tetapi) kalau nak beli saya (Kedah) jual, di LRA Lubuk Buntar ada lebihan air bersih di situ dengan suci hati tapi kena beli tak boleh ambil free (percuma) macam Sungai Muda,” kata beliau.
Malah, Pejabat Menteri Besar Kedah menerusi kenyataan semalam memaklumkan, tawaran Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri untuk menjual air terawat kepada Pulau Pinang bukan omong kosong menjelang PRK Sungai Bakap.
Sebaliknya, menurutnya, kenyataan Sanusi itu adalah berdasarkan fakta selepas projek naik taraf LRA Lubuk Buntar Lama di Bandar Baharu, dekat Alor Setar siap pada September ini. – 12 Jun, 2024