Nasib ibu bapa Zayn diketahui Khamis ini?

Ini kerana tempoh reman bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (kes bunuh) tidak boleh dilanjutkan

10:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Teka-teki sama ada ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang kini ditahan reman bagi membantu siasatan pembunuhan anak mereka akan didakwa atau dibebaskan bakal diketahui Khamis ini.

Sumber perundangan memaklumkan, ini kerana tempoh reman bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (kes bunuh) tidak boleh dilanjutkan.

“Untuk mana-mana kes, macam dalam kes ini dah tujuh hari reman pertama dan enam hari reman kedua.

“Lepas dah habis tempoh ini, polis tak boleh buat permohonan reman baru untuk siasatan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Jadi, Khamis ini lah penentu sama ada mereka dibebaskan atau didakwa,” katanya kepada Scoop.

Terdahulu, ibu Zayn yang kini berada dalam tahanan reman polis bagi membantu siasatan pembunuhan anaknya dibawa kembali ke kediaman mereka dekat Apartment Idaman, Damansara Damai di Petaling Jaya, hari ini.

Proses membawa ibu Zayn dipercayai dilakukan adalah untuk melakonkan semula situasi kejadian semasa kehilangan kanak-kanak itu sehinggalah mayatnya ditemui pada 6 Disember lalu.

Media melaporkan sebuah van polis tanpa logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa ibu mangsa ke lokasi kediamannya di Blok R pada jam 10.15 pagi tadi.

Bagaimanapun kelibat bapa Zayn tidak kelihatan.

Sumber polis turut mengesahkan bapa Zayn tidak akan dibawa ke kediaman mereka untuk membantu siasatan esok.

Sementara itu, peguam mewakili kedua-dua suspek, Fahmi Abd Moin bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen mengenai proses polis membawa ibu Zayn ke kediaman mereka pagi tadi.

Sebaliknya, Fahmi meminta semua pihak agar bersabar dan menunggu keputusan Pejabat Peguam Negara (AGC).

“Apa-apa kena tunggu keputusan Jabatan Peguam Negara. Saya belum terima apa-apa pemakluman mengenainya (sama ada kedua-dua suspek akan didakwa),” katanya.

Dalam pada itu, peguam Mahmud Jumaat mengesahkan kepada Scoop bahawa beliau mewakili ibu Zayn.

“Saya memang mewakili ibu Zayn dari Jumaat lepas,” katanya ringkas.

Jumaat lalu, polis menyambung reman ibu bapa kepada kanak-kanak malang itu bagi membolehkan siasatan lanjut diteruskan terhadap kedua-dua mereka.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pasangan itu akan direman enam hari sehingga 13 Jun ini.

Pasangan suami isteri berusia 28 tahun itu direman bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mereka ditahan di sekitar Puncak Alam pada 31 Mei lalu.

Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai sekitar 10 malam.

Mayat mangsa ditemukan oleh kumpulan penduduk kira-kira 200 meter dari blok kediamannya selepas dilaporkan hilang. – 10 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related