‘Nanti Khamis kita buat kejutan, tunggu…’: bekas peguam ibu bapa Zayn

Pada 4 Jun lalu, Mahmud mengesahkan beliau tidak lagi mewakili pasangan itu bermula hari sama dan keputusan itu terpaksa dibuat atas sebab-sebab tidak dapat dielakkan

12:35 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bekas peguam kepada ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin mengesahkan beliau tidak akan mengadakan sidang akhbar atau mengeluarkan kenyataan dalam tempoh terdekat, berhubung isu pelantikkannya untuk mewakili pasangan itu sebelum ini.

Namun, bercakap kepada Scoop, Mahmud Jumaat berkata, beliau hanya akan mengeluarkan kenyataan ‘mengejutkan’ mengenai isu berkaitan pada 13 Jun ini.

“Betul tiada (sidang akhbar). Nanti Khamis kita buat kejutan, tunggu Khamis,” katanya.

Tarikh ditetapkan Mahmud itu bersamaan dengan hari terakhir tempoh reman kedua dikenakan ke atas ibu bapa Zayn.

Ibu bapa Zayn direman kali kedua selama enam hari selepas perintah berkenaan dikeluarkan Majistret Ainaa Muhamad Kamal, susulan permohonan dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Terdahulu, Mahmud berkata, beliau menerima panggilan daripada pihak media berhubung kenyataan datuk Zayn Rayyan, iaitu Zahari Mohd Reba yang menjelaskan tiada surat rasmi untuk melantik Mahmud dari Tetuan Emir Mahmud & Co sebagai peguam kepada anak dan menantunya.

Malah, Zahari yang juga bapa kepada suspek lelaki, Zaim Ikhwan, 28, memaklumkan, berlaku salah faham antara peguam dan mungkin pihak media susulan penahanan anaknya itu.

“Selesai Mahkamah Selayang sebentar tadi, bertalu-talu panggilan daripada pihak media untuk klarifikasi.

“Saya akan jawab nanti, the truth shall prevail (kebenaran akan terungkap),” kata Mahmud.

Pada 4 Jun lalu, Mahmud mengesahkan beliau tidak lagi mewakili pasangan itu bermula hari sama dan keputusan itu terpaksa dibuat atas sebab-sebab tidak dapat dielakkan.

Susulan keputusan itu, keluarga Zayn Rayyan melantik Bekas Timbalan Pendakwa Raya, Fahmi Abd Moin mewakili ibu bapa mangsa.

Sebelum ini, Mahmud dilaporkan dilantik keluarga ibu bapa Zayn Rayyan selepas pasangan berusia 28 tahun itu, ditahan polis di kediaman keluarga mereka di Puncak Alam Jumaat lalu.

Beliau turut hadir semasa prosiding permohonan reman ke atas suami isteri itu di Mahkamah Petaling Jaya, keesokannya sebelum Majistret Ainaa Muhammad Kamal membenarkan reman pertama kali untuk tujuh hari bermula 1 Jun lalu.

Terdahulu, Scoop melaporkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan sebagai berkata, ibu bapa kanak-kanak terbabit direman bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan ditemui di saliran air kira-kira 200 meter dari kediaman keluarganya di Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, sehari selepas polis mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada keluarganya mengenai kehilangan kanak-kanak terbabit pada jam 6.30 petang.

Mangsa kemudian disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemui kesan kecederaan pada leher dan badannya. – 9 Jun, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

Related