Masih ramai tidak tahu perlu mohon ‘fleet card’ untuk nikmati diesel pada harga subsidi

Mereka perlu mengemukakan permohonan mendapatkan 'fleet card' atau terpaksa membayar diesel pada kadar lebih tinggi apabila subsidi bahan bakar itu ditarik nanti

10:00 AM MYT

 

PETALING JAYA – Masih ramai pemilik kenderaan diesel bagi tujuan mengangkut barang tidak menyedari mereka perlu mengemukakan permohonan mendapatkan fleet card untuk membeli bahan bakar tersebut pada harga subsidi.

Tinjauan Scoop di beberapa stesen minyak di sini mendapati, risalah mengenai subsidi diesel dan imbasan QR bagi akses ke pautan MySubsidi Diesel terpaksa disediakan di kaunter pembayaran, sebagai langkah mengingatkan pemilik kenderaan.

Menurut salah seorang pekerja stesen minyak, Hidayah Abu Bakar, 25, fleet card tidak boleh diperolehi secara terus daripada stesen minyak tetapi perlu didaftarkan secara dalam talian.

Kebanyakan stesen minyak meletakkan risalah cara-cara untuk memohon fleet card yang membolehkan mereka menikmati diesel pada harga subsidi bagi meningkatkan kesedaran pemilik kenderaan. – Gambar Scoop, 9 Jun, 2024

“Ramai belum daftar untuk dapatkan fleet card setakat ini kerana tidak menyedari mengenainya. Kalau mereka tidak mendaftar awal, mereka akan rugi kerana belum pasti bila kerajaan akan laksanakan penarikan subsidi.

“Kalau tiada kad bermakna mereka terpaksa bayar pada kadar yang lebih tinggi,’’ katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, hanya pihak yang memiliki fleet card akan dapat menikmati harga diesel bersubsidi selepas kerajaan melaksanakan subsidi diesel bersasar nanti.

“Sebab itu paling penting ialah daftar segera. Apabila subsidi itu ditarik balik, hanya yang ada fleet card dapat beli diesel pada harga subsidi,” kata Fuziah.

Pemilik kenderaan yang mahu mendapatkan subsidi diesel perlu menghantar serta membuat pengesahan di portal rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. – Gambar KPDN, 9 Jun, 2024

Sementara itu, jurucakap Petronas MesraLink yang hanya dikenali sebagai Asyraf ketika dihubungi berkata, pemilik kenderaan yang ingin mendapatkan subsidi diesel perlu menghantar dan membuat pengesahan di portal rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Untuk dapatkan harga subsidi, KPDN perlu keluarkan surat rasmi dan senarai kenderaan yang dipohon terlebih dahulu.

“Seterusnya, setelah mendapat pengesahan dari KPDN, barulah pengguna boleh mendaftar permohonan untuk mendapatkan fleet card di syarikat minyak tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pemandu lori, Muniandy Subramaniam, 50, berkata, dia mahu mendaftar untuk mendapatkan subsidi diesel tetapi masih tidak mengetahui caranya.

“Buat masa sekarang, majikan saya tidak memaklumkan apa-apa mengenai perkara ini, jadi saya anggap mereka yang akan daftarkan,” katanya.

Muniandy turut memberitahu, ketika ini purata kegunaan diesel bulanan mencecah sehingga RM2,000.

Pemandu lori, Muniandy Subramaniam mengakui, dia mahu mendaftar untuk mendapatkan subsidi diesel tetapi tidak tahu cara membuat permohonan fleet card. – Gambar Scoop, 9 Jun, 2024

Sebanyak 23 jenis kenderaan layak menerima subsidi diesel melalui Sistem Kawalan Subsidi Diesel (SKSD) 2.0. berbanding 14 sebelum ini termasuk lori rigid (curtain sider), lori katering makanan, lori rigid (hasil pertanian), lori tangki rigid (minuman), lori rigid (kandang haiwan), semi (van panel) dan lori rigid (kombinasi).

Turut mendapat subsidi diesel ialah bas perkhidmatan bergerak, lori rigid (open platform), van perkhidmatan bergerak, bas katering makanan, lori rigid (perkhidmatan bergerak), van katering makanan, dan lori rigid (sampah). – 9 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Of Chinese gangs, a M’sian ex-deputy minister, and Burmese rebels: KL event ensnared in Myanmar scam centre?

Human rights group reveals event at JW Marriott for controversial Dongmei Zone, which allegedly sourced billions of ringgit in investments from prominent individuals, and reported by Chinese human trafficking victim to be rife with crime, drugs, brothels

Related