Taklimat kewarganegaraan Adun DAP ditunda selepas terima kecaman hebat

Taklimat tersebut adalah berkaitan dengan isu mereka yang tidak memiliki status kewarganegaraan atau sijil kelahiran akibat kecuaian ibu bapa atau sebab-sebab lain

7:32 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Taklimat dan penerangan kewarganegaraan yang dijadualkan pada 30 Jun ini di Johor Bahru ditangguhkan, di sebalik bantahan dan kecaman ramai berhubung penganjurannya.

Meskipun tiada penjelasan diberikan di sebalik pengangguhannya itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (DAP) Stulang, Andrew Chen Kah Eng berharap tiada pihak yang akan membuat sebarang spekulasi berikutan salah faham yang timbul dari poster mereka.

Menurutnya, taklimat tersebut adalah berkaitan dengan isu mereka yang tidak memiliki status kewarganegaraan atau sijil kelahiran akibat kecuaian ibu bapa atau sebab-sebab lain.

“Sebagai contoh bapa rakyat Malaysia dan ibu warga Indonesia di mana perkahwinan tidak sah taraf dan tidak didaftarkan di Malaysia menyebabkan anak yang lahir tidak mempunyai sikil kelahiran dan ibu bapa tidak dapat dikesan.

“Anak yang lahir tidak mempunyai sijil kelahiran, ibu tidak dapat dikesan. Akibatnya anak tidak dapat bersekolah, sukar mencari pekerjaan tetap yang dibayar gaji setimpal, tidak layak memiliki kenderaan juga lesen memandu seterusnya terlibat dalam kes jenayah dan masalah sosial,’’ katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Berdasarkan poster, taklimat itu terbuka kepada semua bangsa terutama mereka yang tercicir dari golongan B40.

Program berkenaan mencetuskan polemik apabila netizen meluahkan kemarahan kepada penganjur kerana perkara melibatkan permohonan kewarganegaraan adalah urusan kerajaan iaitu di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), bukan urusan parti politik.

Mereka menyifatkan jika ia diteruskan, program itu hanya mencetuskan polemik politik dan agama serta kaum.

Malah ada yang meminta supaya pihak berkuasa menyiasat program ini.

Dalam pada itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan penglibatannya dalam program permohonan kewarganegaraan tersebut dan memaklumkan tiada jemputan diterima pihaknya.

“JPN sentiasa ingin menegaskan penganugerahan taraf kewarganegaraan merupakan anugerah tertinggi oleh Kerajaan Malaysia kepada mereka yang benar-benar layak dan memenuhi syarat.

“Proses yang dilaksanakan oleh kerajaan tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan selari dengan undang-undang yang berkuat kuasa bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terjamin,” tegasnya. – 8 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Related